Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Emas suntik semangat Pandelela-Jun Hoong

pandelela-jun-hoong-110418.jpg
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, menyifatkan kejayaannya meraih pingat emas bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berakhir semalam, menyuntik semangatnya untuk memburu keputusan positif dalam tiga kejohanan antarabangsa selepas ini.

Tiga kejohanan itu ialah Siri Terjun Dunia, Piala Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) selain Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan.

Pandelela berkata pingat berkenaan amat bermakna untuk dirinya memandangkan ia adalah emas kedua yang dimenanginya selepas edisi 2010 di New Delhi, India yang menyaksikan dia meraih emas dalam acara 10m platform individu.

"Dapat menang emas sudah tentu menggembirakan hati dan saya amat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan saya kali ini.

"Saya rasa kemenangan emas yang dimenangi dalam setiap edisi Sukan Komanwel amat bermakna untuk diri saya, namun saya akui saingan kali ini amat mencabar tapi saya bersyukur dapat keputusan yang baik," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) bersama-sama skuad terjun negara dari Gold Coast, awal pagi tadi.

Berkongsi pandangan sama adalah Jun Hoong yang berbangga dapat meraih emas sulungnya setelah gagal dalam tiga percubaan sebelum ini pada edisi 2002 di Manchester, England, 2006 di  Melbourne, Australia dan 2010 di India.

"Saya amat gembira dengan persembahan kali ini dan bersyukur kerana dapat menang pingat emas dan ini adalah yang pertama bagi diri saya dalam Sukan Komanwel selepas kali keempat mencuba," jelas anak jati Perak itu yang merupakan Olahragawati Kebangsaan 2017.

Selain pingat emas berkenaan, Malaysia turut meraih dua pingat gangsa, masing masing menerusi Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri, dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama wanita.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video