Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka Thailand: Jackie mahu sekali lagi pecahkan rekod kebangsaan

12617jackie.jpg
Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, meletak sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya buat kali ketiga tahun ini dalam Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Thailand, bermula hari ini.

Kali pertama Jackie memperbaharuinya adalah di Korea Selatan pada April lalu dengan balingan 64.55 meter sebelum terus konsisten untuk memecahkan rekod sekali lagi dalam Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Angota Kerajaan (MAKSAK) dengan 64.95m.

Sehubungan itu, dia percaya mampu melakar kejutan dalam Terbuka Thailand untuk menyasarkan balingan sehingga 65m.

Atlet berusia 24 tahun itu menjelaskan dia sudah lama meletakkan sasaran itu, bagaimanapun, masih belum berjaya melakukannya.

"Hari itu nampak macam 64.95m, 5 sentimeter lagi nak sampai 65m. Ia membuatkan saya masih tidak berpuas hati tetapi saya akan cuba melepasi 65m," katanya.

Berbeza pula dengan atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong, yang menyifatkan prestasinya agak menurun selepas memecahkan rekod kebangsaan berusia enam tahun pada April lalu di Korea Selatan, iaitu 60.99m.

Justeru, Grace tidak mahu tertekan untuk meletakkan sasaran terlalu tinggi di Thailand.

"Sekarang  ia jatuh walaupun ia mula sedikit meningkat. Tidak jauh daripada rekod. Saya ada rasa tertekan sedikit tetapi saya akan cuba yang terbaik," katanya.

"Jurulatih, MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) turut banyak membantu saya."
 

Advertisement

Must Watch Video