OLAHRAGA
Terbuka Malaysia: Yu Tian tekad lepasi ketinggian 3.80m
Atlet lompat bergalah wanita negara, Chuah Yu Tian, mengambil serius Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan depan dengan perlu melepasi rekod peribadi 3.80 meter bagi memastikan dirinya layak secara merit ke Sukan Asia Jakarta, Ogos nanti.
Ketinggian 3.80m masih belum menjamin tempat Yu Tian dalam Sukan Asia dan perlu melepasi ketinggian itu sekiranya ingin layak secara merit.
Selepas gagal melakar kejutan dalam Sukan Komanwel lalu dengan mencatat 3.70m, latihan berganda perlu dilakukan bagi membuktikan sesuatu dalam Terbuka Malaysia nanti.
Iklan
Pengajaran paling berguna yang diraih Yu Tian sewaktu di Gold Coast adalah perlu beraksi dalam keadaan lebih tenang apabila lawan bertaraf dunia di sana cukup menikmati saingan tanpa tekanan.
"Saya rasa prestasi terkini memerlukan saya untuk lebih fokus kepada teknik kerana kekuatan dan kelajuan sudah ada," kata Yu Tian.
Tiada rehat untuknya selepas pulang dari Gold Coast apabila perlu menerapkan corak latihan baru.
Dengan galah berukuran 4.15m, larian 14 langkah yang lebih kemas perlu dilakukan Yu Tian berbanding 12 langkah sebelum ini.
"Sebelum ini kalau menggunakan galah 4m, saya lakukan 10 atau 12 langkah larian tetapi sekarang saya sudah melakukan 14 langkah larian, jadi ada perkembangan yang dapat dilihat," tambahnya.
Must-Watch Video