Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Terbuka Malaysia: Nafiizwan ketuai cabaran negara ke suku akhir

nafiizwan.jpg
Pemain nombor satu negara, Mohd Nafiizwan Adnan, kembali menemui rentak permainan dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia  apabila  mengatasi Ivan Yuen, yang menewaskannya dalam perlawanan akhir Kejohanan Kebangsaan, awal bulan ini.

Dalam aksi pusingan pertama kategori lelaki di Pusat Skuasy Nasional,  Bukit Jalil hari ini, pemain kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu menumpaskan lawan dari Pulau Pinang itu 9-11, 11-6, 13-11, 12-10 untuk berdepan Leo Au dari Hong Kong yang mengalahkan Angus Gilams dari England, di peringkat suku akhir esok.

“Perlawanan hari ini lebih sengit daripada  sebelum ini. Saya beritahu  diri saya selagi belum keluar daripada gelanggang (perlawanan tamat), saya tidak akan berputus asa dan terus berjuang sehingga mencapai kemenangan.

“Tetapi agak sedih dua pemain Malaysia terpaksa berentap dalam pusingan pertama kerana Ivan sedang menemui rentak selepas muncul juara Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini.

"Namun  untuk jadi juara dalam kejohanan seperti ini, anda perlu menang semua perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Pemain pilihan kelapan dari Malaysia, Ng Eain Yow, turut mara ke suku akhir selepas membenam pemain Australia, Rex Hendrik, 11-8, 13-11, 12-10 dalam masa 45 minit untuk bertemu pilihan keempat, Lucas Serme dari Perancis, yang mengalahkan Mazen Gamal dari Mesir 11-1, 11-5, 11-9 dalam pusingan pertama.

Bekas pemain wanita nombor dua negara, Low Wee Wern, juga tidak berdepan masalah menewaskan pemain pilihan kelapan dari Hong Kong, Tong Tsz-Wing, 11-8, 11-6, 11-6 untuk berdepan pilihan kedua Liu Tsz-Ling dari Hong Kong, yang menumpaskan pemain Filipina, Jemcya Aribado, 12-14, 11-4, 11-4, 11-4 dalam pusingan pertama.

“Beraksi menentang Tsz-Wing yang berada dalam kelompok 50 pemain terbaik dunia satu perlawanan bagus kepada saya. Permulaan yang baik, namun saya masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan gelanggang dan sememangnya ia bukan aksi terbaik saya.

“Matlamat utama saya sebenarnya untuk kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif agar dapat menyertai lebih banyak kejohanan kerana saya kini berada di ranking ke-256 dunia, jadi agak sukar bagi saya menyertai kejohanan besar selepas lama berehat akibat kecederaan lutut,” katanya.

Sementara itu, S. Sivasangari yang baru muncul juara Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini, terus mengekalkan prestasi cemerlangnya apabila menyingkirkan pemain India, Sunayna Kuruvilla 11-5, 11-6, 11-9 dalam masa hanya 23 minit.

Menantinya dalam suku akhir esok adalah pemain Hong Kong, Lee Ka Yi, yang menewaskan pemain pilihan keenam, Tinnie Gilis dari Belgium, 11-7, 3-11, 6-11, 11-8, 11-3.

Advertisement

Must Watch Video