Skip to main content

Paralimpik

Temasya Paralimpik Tokyo membuka tirai secara rasmi

paralimpik2.jpg
Sukan Paralimpik Tokyo 2020 secara rasminya membuka tirai selepas selesai upacara pembukaan di Stadium Nasional sebentar tadi. 

Buat pertama kali dalam sejarah, Tokyo menjadi bandar raya pertama yang menganjurkan Sukan Paralimpik sebanyak dua kali sejak 1964, namun kali ini dianjurkan ketika penularan wabak COVID-19.sekali gus menyaksikan tanpa kehadiran penonton.

161 negara serta 4,403 atlet termasuk pasukan pelarian mengambil bahagian dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa menyifatkan ia sebagai 'pencapaian mengagumkan' selepas mengambil kira kesukaran yang dihadapi susulan pandemik yang dihadapi di seluruh dunia ketika ini.

Berlangsung di atas pentas yang mirip seperti lapangan terbang, atlet memasuki stadium berdasarkan urutan abjad Jepun selepas pasukan pelarian untuk meraikan permulaan Sukan Paralimpik yang ditangguhkan lebih setahun.

Seperti Sukan Olimpik, Maharaja Naruhito turut mengumumkan pembukaan Sukan Paralimpik secara rasmi di venue yang mampu menempatkan 68,000 penonton, namun hanya tetamu kehormat sahaja dibenarkan hadir sebagai langkah pencegahan.

Jumlah individu yang terbabit dalam pertunjukan upacara pembukaan juga dikurangkan dan kandungan upacara itu diperlihatkan pada acara terbabit yang berkonsepkan 'We Have Wings.'

Samoa, Kiribati, Tonga dan Vanuatu tidak dapat terbang ke Tokyo ekoran impak pandemik sekali gus menyaksikan jumlah negara yang bertanding berkurangan berbanding rekod 164 negara yang dicatatkan di London 2012.

Sukan Paralimpik menampilkan 539 acara daripada 22 sukan dengan beberapa sukan dipertandingkan buat kali pertama seperti taekwondo dan badminton.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video