Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Syed Saddiq: KBS bakal berwajah baru

syed-saddiq.png
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata corak kepimpinan yang baru akan diterapkan dalam Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan kelangsungan sukan negara di pentas antarabangsa terus meningkat pada masa akan datang.

Setelah berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihanraya Umum Ke-14, 9 Mei lalu, Syed Saddiq mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2 Julai lalu bagi menggantikan Khairy Jamaluddin.

Syed Saddiq, 25, adalah menteri termuda yang pernah dilantik dalam Kabinet tetapi memiliki ikutan yang ramai serta mempunyai status sebagai seorang selebriti.

Bagaimanapun, terdapat pihak yang mempertikaikan kemampuannya kerana usia yang terlalu muda dan mentah memegang jawatan itu.

Syed Saddiq mengakui beliau tidak menjangkakan akan memegang portfolio berkenaan kerana minatnya lebih ke arah bidang pendidikan sebelum ini.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya kerana penyelidikan merupakan minat saya. Tetapi apabila diberikan tanggungjawab ini, saya berharap idealisme yang saya terapkan adalah yang terbaik untuk Malaysia," katanya.

Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa corak kepimpinan dalam KBS kali ini adalah berbeza dan beliau akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan terdahulu.

"Saya tidak mahu masuk ke KBS dengan status sebagai bos. Saya mahu berusaha untuk mengenal pasti secara mendalam cara kerja KBS, cuba mendekati dan mendengar setiap elemen-elemen penting bagi membentuk corak pimpinan yang baru," katanya.

Dengan berbaki sebulan sebelum Sukan Asia bermula, Syed Saddiq berkata sudah terlalu lewat untuk langkah-langkah perlu diambil untuk temasya di Jakarta dan Palembang itu tetapi beliau mahu melihat kepada perancangan masa depan bagi meningkatkan lagi kelangsungan sukan negara di pentas antarbangsa.

"Langkah drastik terlalu dekat untuk diambil untuk kontinjen negara ke Sukan Asia. Fokus utama buat masa ini adalah bertemu dengan setiap individu yang terlibat dan melihat perancangan pada masa akan datang," katanya.

Advertisement

Must Watch Video