HOKI
Sukri puji semangat juang rakan sepasukan
Kapten skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib, dilihat begitu beremosi selepas Malaysia menundukkan cabaran Korea Selatan 1-0 dalam aksi separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, semalam.
Kemenangan itu mengukuhkan peluang pasukan kendalian Stephen Van Huizen untuk menyertai kelompok lapan terbaik, sekaligus meraih tiket ke Piala Dunia 2018.
Bagi Sukri, sikap tidak berputus asa semua pemain serta gigih mengekang asakan bertubi-tubi Korea, terutama pada penghujung permainan, wajar dipuji.
Iklan
“Memang benar, semangat yang ditunjukkan rakan sepasukan membuatkan saya lebih emosi.
“Kami bermain bermati-matian sehingga ke wisel penamat,” katanya.
Pemain pertahanan, Muhammad Razie Abdul Rahim, muncul wira Malaysia apabila menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-35.
Bagi Van Huizen, anak-anak buahnya berjaya meraih tiga mata walaupun lawan terus menyerang tanpa henti sebelum perlawanan tamat dan untuk perlawanan seterusnya menentang China, dia yakin pemain-pemain tahu apa yang perlu dilakukan.
“Kami tidak memenuhi potensi, namun apa yang penting kami berjaya meraih tiga mata,” kata Van Huizen.
“Semua pemain sedar bahawa hanya satu mata sudah melayakkan kami ke suku akhir dan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lapan terbaik,” tambahnya.
Must-Watch Video