HOKI
Sukri Mutalib sebak lihat ketabahan Azimuddin Syakir
Penolong jurulatih skuad hoki negara, Sukri Mutalib, sebak melihat ketabahan dimiliki pemain negara, Azimuddin Syakir Kamaruddin, yang kehilangan bapanya sewaktu berjuang membawa nama negara dalam Kejohanan Piala Negara-Negara di Poland ketika ini.
Azim mendapat perkhabaran duka bahawa bapanya meninggal dunia awal pagi tadi tetapi masih memilih untuk bersama skuad negara berbanding pulang ke Malaysia dengan perjalanan hampir 30 jam.
Bapanya, Kamaruddin Misman, meninggal dunia di Kluang, Johor dan selepas mencapai kata sepakat dengan keluarganya, Azimuddin memilih kekal berada di Poland sehingga tamat kejohanan itu.
Iklan
Sukri, menerusi satu luahan yang dikongsikan dalam laman sosialnya mengakui tersentuh dengan ketabahan pemain berusia 19 tahun itu.
"Air mata mengalir bukan kerana tewas kepada Perancis, mengalirnya air mata ini kerana melihat betapa kuatnya budak berumur 19 tahun ini menghadapi dugaan hebat atas kehilangan ayah tercinta yang telah kembali kepada Allah SWT sebentar tadi pada jam 2.45 pagi waktu malaysia dan 8.45 malam waktu poland.
"Ya, kami berada di Poland. Jauh dari bumi Malaysia. Perjalanan pulang mengambil masa lebih dari 27 jam, atas persetujuan Azim bersama keluarga, Azim kekal di Poland untuk meneruskan saingan sehingga habis.
"Ini adalah cita-cita arwah ayahnya untuk melihat Azim mewakili negara. Mewakili pasukan hoki kebangsaan.
"Saya ingin mengucapkan salam takziah kepada Azim dan keluarganya. Semoga roh Arwah Wak Din ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Bacaan Yassin dan tahlil kami sedekahkan kepada Arwah Wak Din. Janji kami sepasukan adalah untuk menjaga Azim dan memberi kekuatan kepada beliau pada saat ini.
Terima kasih Wak Din kerana telah melahirkan bintang masa depan hoki negara. Terima kasih juga kepada ibu yg telah melahirkan Azim. Al-Fatihah," coretnya.
Must-Watch Video