Skip to main content

Berita Sukan Am

Pemulihan Berkesan: Merekayasa Sports Aider Malaysia

SPORTS AIDER MALAYSIA

Pemulihan dalam dunia sukan bukan lagi sekadar waktu rehat, malah ia merupakan sains yang menentukan kelestarian prestasi seseorang atlet. Secara fundamentalnya, pemulihan yang berkesan wajib berpaksikan kepada tiga perkara asas: tidur yang berkualiti, nutrisi yang seimbang, dan hidrasi yang optimum. Tanpa pengurusan asas yang disiplin, penggunaan teknologi pemulihan yang canggih sekalipun tidak akan mampu memberikan impak yang signifikan terhadap kesegaran badan atlet.

Prinsip utama yang perlu difahami oleh setiap pengamal sukan ialah periodisasi pemulihan. Ini bermakna pendekatan pemulihan tidak boleh bersifat statik, sebaliknya perlu disesuaikan dengan fasa latihan, tahap stres fizikal, dan matlamat jangka panjang. Strategi yang betul adalah yang mampu mengimbangi antara keperluan badan untuk pulih segera dengan keperluan untuk membiarkan sistem fisiologi badan beradaptasi menjadi lebih kuat dan tahan lasak.

Dalam kitaran latihan yang sistematik, urutan sukan (sports massage) memegang peranan penting sebagai teknik pemulihan manual yang unik. Berbeza dengan urutan biasa, urutan sukan berfungsi secara spesifik untuk memanipulasi tisu lembut bagi meningkatkan aliran darah dan melegakan ketegangan otot yang melampau. Ia membantu memecahkan lekatan pada tisu otot (adhesions) yang sering terbentuk akibat latihan berulang, sekaligus memastikan otot kekal fleksibel dan berfungsi dengan cekap.

Secara teknikal, terdapat perbezaan dalam penggunaan suhu bagi tujuan pemulihan, iaitu antara terapi sejuk (cooling) dan terapi haba (heating). Terapi sejuk biasanya diaplikasikan sejurus selepas aktiviti intensiti tinggi untuk mengecilkan salur darah dan meredakan keradangan. Ia sangat efektif sebagai langkah awal untuk mengurangkan rasa sakit otot (DOMS) sebelum atlet beralih kepada modaliti lain yang lebih mendalam seperti urutan atau manipulasi tisu.

Sebaliknya, terapi haba sering digunakan sebagai pelengkap kepada urutan sukan untuk meningkatkan keberkesanannya. Haba membantu mengembangkan salur darah dan melembutkan tisu. Kombinasi ini sangat membantu dalam memulihkan julat pergerakan sendi dan mempercepatkan penyingkiran bahan buangan metabolik daripada sistem badan, yang mana ia amat penting untuk mengelakkan otot daripada menjadi "mati" atau kaku.

Selain faktor suhu dan urutan, penggunaan alat mampatan (compression) dan aktiviti julat pergerakan (Range of Motion) adalah pelengkap yang kritikal. Pakaian mampatan membantu sistem limfatik mengalirkan cecair keluar dari anggota bawah, manakala regangan dinamik memastikan serat otot yang telah "dilembutkan" melalui urutan kekal dalam keadaan panjang yang optimum. Gabungan mekanikal ini sangat efektif untuk mengurangkan rasa lemau atau berat pada anggota badan atlet.

Aspek yang sering diabaikan adalah pemulihan psikologi yang turut terhasil melalui sesi urutan sukan. Sentuhan manual ahli terapi professional bukan sahaja merawat otot, malah mampu menurunkan hormon stres seperti kortisol dan merangsang sistem saraf parasimpatetik. Apabila atlet merasa relaks secara mental semasa sesi pemulihan, proses pembaikan tisu secara biologi dalam badan akan berlaku dengan lebih mendalam dan berkualiti. Komunikasi berkesan juga secara tidak langsung dapat menaikan motivasi atlet untuk sentiasa positif dan yakin diri.

Kesimpulannya, kecemerlangan dalam sukan adalah hasil daripada keseimbangan antara kerja keras dan pemulihan yang bijak. Dengan menggabungkan teknologi moden dan kemahiran manual seperti urutan sukan yang tepat pada waktunya, risiko kecederaan dapat diminimumkan dengan ketara. Setiap atlet harus memandang serius terhadap periodisasi pemulihan demi memastikan setiap sesi latihan membuahkan hasil yang maksimum dan prestasi yang konsisten di gelanggang.

 

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip,

Pensyarah Kanan Sains Sukan,

Fakulti Sains, Pendidikan dan Teknologi,

Universiti Teknologi Malaysia.

Related Topics

Must Watch Video