Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Nazifuddin harap taekwondo terus dipertandingkan

taekwando9218.jpg
Penyenaraian semula taekwondo dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini melegakan badan induk sukan itu, Taekwondo Malaysia (TM), tetapi masih ada persoalan yang perlu dirungkai.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma Perak semalam sebulat suara menerima semula taekwondo ke temasya itu di samping angkat berat dan sepak takraw.

Begitupun, status ketiga-tiga sukan itu yang dikeluarkan daripada program sukan teras masih dikekalkan.

Timbalan Presiden TM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, berkata perkara itu sedikit melegakan tetapi berharap ia akan terus kekal dalam edisi Sukma yang berikutnya di Johor.

"Kami berharap penyertaan taekwondo ini dapat diteruskan dalam Sukma akan datang. Kali ini, kami dapat masuk tetapi edisi di Johor nanti, ia belum tentu lagi. 

"Saya berharap majlis tertinggi Sukma dapat melihat bagaimana kami boleh meneruskan penyertaan taekwondo dalam Sukma," ujarnya.

Sementara itu, TM buat julung kali akan menganjurkan Kejohanan Antarabangsa G1 menerusi Terbuka Malaysia awal bulan depan. 

Ia menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Nazifuddin berpandangan peluang itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh atlet Malaysia.

"Dalam kalendar dunia untuk bulan depan tidak banyak pertandingan diadakan. Pertandingan lebih kepada di Eropah. Jadi, atlet kita boleh menggunakan peluang ini untuk berlatih bagi Sukan Asia nanti," katanya lagi.

Ini merupakan kali kedua Perak menganjurkan Sukma sejak kali pertama menjadi tuan rumah pada 1994. Edisi ke-19 itu akan berlangsung dari 12 hingga 22 September ini. 

Advertisement

Must Watch Video