Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Masa depan angkat berat masih perlu dibincangkan

angkat-berat.jpg
Masa depan sukan angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) edisi akan datang masih belum terjamin meskipun Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sudah melakukan saringan awal terhadap semua atlet angkat berat yang mengambil bahagian dalam Sukma Perak yang bermula esok. 

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata masa depan angkat berat dalam Sukma selepas ini masih perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

Ini kerana ujian saringan awal yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) baru-baru ini mendapati  seorang atlet didapati positif dan sudah pun digugurkan daripada beraksi dalam temasya kali ini.

""Ini adalah salah satu tekanan yang kami kenakan kepada sukan angkat berat untuk memastikan tiada lagi isu doping (berlaku). Bukan sahaja dalam Sukma, malah dalam aktiviti biasa sekalipun.

"Semua penggiat sukan angkat berat, baik atlet, jurulatih mahupun persatuan, perlu mengambil tekanan ini sebagai satu tindakan positif bagi memastikan mereka juga menggalakkan pencegahan bahan terlarang," kata Shapawi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How, turut memandang serius isu doping.

Kontinjen Perak sudah melakukan saringan awal dalam memastikan kontinjen tuan rumah bersih daripada sebarang kes doping dalam Sukma kali ini.

"Kami telah mengadakan 100 ujian rambang. 

"Kami mengenal pasti seorang atlet dan telah menggugurkannya kerana ujian doping ke atasnya didapati positif. 

"Ini merupakan inisiatif yang diambil oleh negeri Perak dan telah pun disarankan ke atas negeri-negeri lain juga," ujar Howard.
 

Advertisement

Must Watch Video