Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Kelibat Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2018 jadi tumpuan

sukma-2018-perak.jpg
Menjelang majlis penutupan rasmi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 esok, persaingan kini menjuruskan kepada melihat siapakah atlet yang bakal dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma 2018?

Persaingan untuk takhta olahragawati dilihat lebih sengit kerana ramai atlet yang menyerlah di samping mencatatkan keputusan yang memberangsangkan.

Antaranya daripada sukan gimrama, Rayna Hoh, yang mewakili Wilayah Persekutuan apabila merangkul kesemua lima pingat emas yang dipertandingkan.

Nur Aisyah Muhammad Zubir daripada kontinjen Terengganu juga cemerlang apabila setakat ini sudah merangkul empat emas daripada sukan berbasikal dan dijangka akan bertambah apabila acara berbasikal akan terus berlangsung pada hari terakhir, esok. 

Begitu juga atlet olahraga, Azreen Nabila Alias, yang merangkul tiga emas dalam acara pecut 100, 200 dan 4x100 meter di samping memecah rekod berusia 10 tahun Sukma acara 100m dengan catatan 11.81 saat.

"Usaha saya berbaloi pada tahun ini. 

"Edisi sebelum ini sekadar menyaksikan saya beraksi dalam acara 4x100m atau hanya mara ke separuh akhir sahaja. 

"Tetapi, kali ini saya berasa gembira sangat kerana dapat tiga emas," kata Azreen.

Bagi perebutan olahragawan Sukma pula, antara atlet lelaki yang menyerlah adalah perenang dari Johor, Tiaa Fang Der, yang memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400m rampaian individu lelaki untuk meraih emas.

Atlet terjun negara, Jellson Jabillin, yang mewakili Sabah juga dilihat berpotensi untuk merebut gelaran itu apabila memungut dua emas dalam acara 3m papan anjal dan 10m platform.

Namun, tumpuan sudah semestinya terhadap raja pecut Sukma 2018, Muhammad Aqil Yasmin, yang turut meraih dua emas dalam acara 100 dan 200m pecut di samping melakar rekod baru kejohanan dalam acara 200m dengan catatan 21.01 saat.

"Sebelum ini, saya hanya mengekalkan catatan larian 100 dan 200m dalam sebarang kejohanan.

"Alhamdulillah selepas setahun lebih, dalam temasya Sukma ini, saya dapat memperbaiki catatan terbaik. 

"Jurulatih kerap berpesan supaya saya mengatasi catatan terbaik peribadi dan Alhamdulillah saya berjaya melakukannya," kata Aqil. 

Advertisement

Must Watch Video