Skip to main content

Sukan Lain

SUKIPT: Gursan, Nurina rangkul emas acara skuasy

nurina10218.jpg
Hari terakhir acara skuasy menyaksikan wakil Universiti Putra Malaysia (UPM), Gursan Singh, dan Nurina Mohd Najib dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkul gelaran juara kategori lelaki dan wanita dalam Sukan Insititusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.

Nurina melakar kemenangan 9-11, 11-4, 10-12, 11-5, 12-10 ke atas wakil UPM, Mithila Tamilarasan, yang akur dengan pingat perak sementara gangsa milik Goh Jing Xin dari Universiti Sains Malaysia (USM).

"Mithila adalah pemain profesional yang juga bekas atlet antarabangsa. Kami sudah biasa bermain bersama dan pertemuan kami 50-50, kadang-kadang dia menang dan saya kalah.

"Kali ini, saya lebih agresif untuk memenangi temasya sukan ini," kata Nurina.

Bagi kategori lelaki pula, Gursan menewaskan rakan sepasukannya, Mohd Amir Farhan Ampandi, 11-3, 10-12, 11-7, 11-4.

"Saya berasa baik sekali dan beraksi bagus hari ini. Keadaan panas di dalam gelanggang membuatkan pemain mudah keletihan.

"Tetapi, saya bangga berjaya mengawalnya dengan baik untuk memenangi perlawanan ini," kata Gursan.

Pingat gangsa kategori lelaki dimenangi oleh Alwin Chai Yar Zhen.
 

Advertisement

Must Watch Video