Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Tiada layanan istimewa untuk atlet rebut tempat dalam Program Podium

250217-datuk-ahmad-shapawi-ismail.jpg
Tiada tiket percuma buat 12 atlet yang baru digugurkan daripada Program Podium untuk terus diserapkan dalam Program Kita Juara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata pihaknya perlu bersikap adil. 

MSN mengambil pendirian tiada layanan khas terhadap bekas atlet Program Podium selepas mereka digugurkan walaupun mereka masih mampu menyumbang untuk negara. 

MSN berpendapat mereka perlu menjalani proses pemilihan seperti atlet lain untuk terpilih dalam Program Kita Juara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan. 

"Kami menilai dari segi prestasi semasa, bukan prestasi tiga tahun lalu. 

"Mereka dinilai berdasarkan prestasi semasa, sama ada mereka mampu menjadi penyumbang pingat emas buat negara dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pasukan masing-masing.

"Tidak mustahil mereka akan menyertai Sukan SEA akan datang," ujar Shapawi. 

Antara yang digugurkan ialah penembak senior, Nur Suryani Mohd Taibi, Nur Ayuni Farhan Abd Halim dan atlet memanah, Atiq Bazil Bakri. 

Institut Sukan Negara (ISN) pada Khamis lalu juga mengumumkan program itu kehilangan dua atlet yang bersara, iaitu Delia Arnold (skuasy) dan Zulhelmi Md Pisol (angkat berat).

Isu ini turut menarik perhatian chef-de-mission Sukan SEA, Datuk Marina Chin, selepas mempengerusikan mesyuarat kali ketiga pengurus pasukan Sukan SEA di Bukit Jalil.

"Mereka (atlet yang digugurkan) perlu menjadikan itu sebagai satu cabaran untuk memperbaiki lagi prestasi dan prestasi supaya terpilih semula dalam Program Podium. 

"Bagi mereka yang terpilih, saya ucapkan tahniah," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video