KL2017
Sukan SEA: Syed Adam, Syukran jadi sandaran baru
Skuad lawan pedang sabre lelaki negara memiliki sejarah gemilang di pentas Sukan SEA hasil sumbangan Yu Peng Kean, namun kini tanggungjawab itu bakal digalas dua atlet muda, Syed Adam Emir Putra dan Ahmad Syukran Shahir.
Skuad sabre yang diketuai Olimpian 2012 negara, Peng Kean, sentiasa menjadi sandaran Malaysia di pentas Sukan SEA.
Antara kejayaan yang menjadi kenangan skuad sabre ialah emas berpasukan di Indonesia 2011 di samping sumbangan pingat gangsa oleh Peng Kian dalam acara individu dan berpasukan di Singapura 2015.
Iklan
Peng Kean, bagaimanapun, mengumumkan persaraan tahun ini.
Menjelang penampilan sulung Syed Adam dan Syukran di pentas Sukan SEA, mereka akan berlepas ke Guangzhou, China selama sebulan bermula 5 Julai ini bagi memperincikan persiapan fasa akhir.
"Saya akan cuba mencari pengalaman ketika di sana nanti, terutama dalam sesi sparring. Ini kerana di sini kami hanya berlatih daripada aspek gerakan kaki," jelas Ahmad Syukran.
Sementara itu, Adam mahu menggunakan manfaat latihan di Guangzhou bagi memperkuatkan fizikalnya.
"Kami akan memberi tumpuan terhadap aspek fizikal kerana daripada segi teknikal, kami agak bagus. Dalam sukan lawan pedang, siapa yang memiliki strategi terbaik, dialah yang akan menang," ujar Syed Adam.
Menyentuh mengenai cabaran menghadirkan semula kegemilangan skuad sabre, Syed Adam dan Syukran kekal tenang di sebalik tugas sukar itu.
Tetapi senario ini tidak menghalang mereka daripada mengimpikan untuk menyumbang emas buat Malaysia dalam temasya Kuala Lumpur 2017.
"Buat masa ini, Vietnam merupakan lawan yang kuat. Singapura agak bagus dalam edisi Sukan SEA yang lalu," tambah Syed Adam.
Must-Watch Video