TINJU
Sukan SEA: Skuad tinju dalam dilema
Misi skuad tinju negara kendalian Azmi Yunus untuk menamatkan kemarau lapan tahun tanpa pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tergugat apabila masih belum menyertai sebarang kejohanan antarabangsa tahun ini ketika temasya itu berbaki empat bulan sahaja lagi.
Thailand, Filipina dan Indonesia sudah menyertai beberapa kejohanan persediaan, namun Malaysia masih lagi berguru di tanah air sendiri.
Peninju negara terlepas tiga kejohanan antarabangsa yang terbatal atau ditangguhkan, iaitu kejohanan empat penjuru, sejori dan pra-Sukan SEA.
Iklan
Ia boleh mewujudkan jurang besar, apatah lagi Malaysia gagal membawa pulang emas sejak tiga temasya lalu.
"Apabila kurang menyertai pertarungan, kami berasa agak kekok.
"Mujur ada Kejohanan Persekutuan Tinju Asia dan Kejohanan Tinju Islamik (di Azerbaijian), dari situ kami akan cuba memenangi sebanyak mungkin perlawanan bagi mendapatkan suasana pertarungan," kata peninju kategori 49kg, Mohd Fuad Redzuan.
Bagi peninju kategori 81kg, Adli Hafidz Mohd Fauzi, dia berharap dapat membuat persediaan yang lebih rapi bagi melunaskan hajat dalam Sukan SEA nanti dengan berkata, "(Kekurangan pertarungan) sedikit-sebanyak memberi kesan kepada kami dari segi prestasi dan kemahiran.
"Jikalau diberi lebih banyak pendedahan, ia mampu meningkatkan persembahan kami."
Kali terakhir Malaysia meraih emas adalah menerusi Mohd Farkhan Haron dalam kategori 69kg dan Muhd Fairus Azwan Abdullah (81kg) di Laos pada 2009.
Skuad negara terpaksa menunggu hingga 28 April ini untuk menyertai ujian sulung, iaitu Kejohanan Persekutuan Tinju Asia di Uzbekistan.
Malaysia akan membawa sembilan peninju untuk merebut enam tempat ke Sukan SEA 2017.
"Kami tidak mendapat maklumat mengenai kategori yang bakal disertai pencabar di Asia Tenggara.
"Ini kerana temasya ini bertindih dengan jadual Kejohanan Dunia.
"Jadi, kami tidak pasti apakah mereka akan menghantar peninju terbaik atau pelapis mereka," ujar Azmi.
Must-Watch Video