Skip to main content

Sepak Takraw

Sukan SEA: Skuad takraw nekad pertahan emas

takraw-110617.jpg
Dalam saingan dua tahun lalu, skuad sepak takraw negara berjaya mengungguli acara regu lelaki, sekaligus menamatkan penantian selama 10 tahun selepas menewaskan juara
lapan kali berturut-turut, Thailand. 


Skuad negara  telah meraih 14 emas, 19 perak serta 13 gangsa dalam sejarah penyertaan dalam Sukan SEA dan bagi ketua pasukan, Muhammad Syahir Rosdi, mereka akan beraksi pada tahap terbaik untuk memastikan Malaysia sekali lagi berada di atas podium tertinggi.

“Saya berharap seluruh pasukan dapat meraih emas di tanah air sendiri.

“Tekanan tetap ada, namun kami akan berusaha lebih keras dan tak akan membiarkan negara lain membawa balik pingat emas,” ujarnya.

Syahir juga menjelaskan skuad negara menjalani latihan di Thailand dalam usaha untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai skuad Gajah Putih itu sambil tidak memandang rendah akan cabaran yang bakal dihadapi daripada pasukan lain.

Thailand dilihat begitu misteri dalam persiapan ke Sukan SEA apabila tidak menyertai Kejohanan Pra Sukan SEA yang diadakan di Kuala Lumpur, bulan lalu.

“Kami cuba mendapatkan seberapa banyak ilmu daripada jurulatih-jurulatih Thailand dan dari situ dapat melihat aksi serta teknik pemain-pemain mereka,” kata Syahir.

“Indonesia dan Filipina juga akan memberikan saingan sengit, jadi kami semua harus fokus dan sedar bahawa pasukan lain sedang meningkat naik,” katanya.

Sementara itu, jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad, berkata kelemahan yang menjadi perangkap buat pasukan Malaysia sebelum ini telah pun diatasi dan menjanjikan aksi terbaik daripada pemain-pemainnya. 

“Sentuhan kemenangan sudah mula dapat dilihat dalam pasukan dan pemain-pemain bersemangat untuk memberikan emas buat rakyat Malaysia,” ujar Talib.

Advertisement

Must Watch Video