Skuad hoki wanita negara enggan menjadikan status pilihan untuk mereka berasa lebih selesa menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Tidak dinafikan skuad hoki Malaysia, sama ada lelaki mahupun wanita, berada dalam kelas tersendiri jika dibandingkan dengan pencabar lain di rantau Asia Tenggara.

Lantas, tidak keterlaluan jika dikatakan mereka antara yang hampir pasti menyumbangkan emas buat kontinjen negara dalam temasya dwitahunan itu nanti.

Begitupun, buat pemain berpengalaman negara, Noor Hasliza Md Ali, setiap pertandingan menjanjikan cabaran yang tersendiri dan seluruh pemain tidak boleh alpa dengan kemampuan lawan.

Saingan di Kuala Lumpur bakal menjadi temasya Sukan SEA yang kelima buat Noor Hasliza.

“Pemain-pemain sudah memiliki banyak pengalaman baru ketika beraksi di Brussels dalam saingan Liga Hoki Dunia.

"Bagi persiapan menghadapi Sukan SEA, latihan dijalankan seperti biasa dan kami tidak mengambil mudah lawan yang bakal menanti kami.

"Hanya Thailand yang mampu memberikan ancaman tetapi untuk pasukan-pasukan lain, kami turut memberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Wan Norfaeizah Md Sayuti, berkata dia tidak rela kehilangan emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.

Ketika itu, dia baru mula mewakili skuad negara dan pengalaman yang diraih sepanjang dua tahun ini memberikan lebih motivasi buat pemain yang beraksi di bahagian serangan ini.

“Ketika beraksi di Singapura, saya baru sahaja menyertai skuad kebangsaan. Ini merupakan penampilan kedua saya dalam saingan Sukan SEA. Saya mahu beraksi dengan lebih baik kali ini buat Malaysia,” kata Norfaiezah.