Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad golf negara buru empat pingat emas

26617golf.jpg
Skuad golf negara tidak pernah gagal menyumbang pingat emas Sukan SEA setiap kali menjadi tuan rumah, iaitu pada 1989 dan 2001.

Kali ini, tugas itu akan dipikul tujuh pemain amatur yang diketuai jaguh berpangkalan di Amerika Syarikat, Chan Tuck Soon.

Golf adalah antara sukan yang diharap mampu mencipta kejutan.

Empat pingat emas ditawarkan, iaitu dalam acara individu dan berpasukan, lelaki serta wanita.

Apa yang menarik, Malaysia tidak pernah gagal meraih emas setiap kali Malaysia menjadi tuan rumah pada 1989 dan 2001 menerusi acara berpasukan lelaki.

Jadi, harapan sama diletakkan di bahu empat pemain lelaki negara.

"Sebagai tuan rumah, kami akan cuba meraih sebanyak mungkin pingat emas tetapi harus berwaspada dengan saingan daripada Thailand," kata Tuck Soon.

"Kami akan cuba meraih pingat emas dalam acara individu dan berpasukan. Terdapat beberapa negara Asia Tenggara yang memiliki pemain golf berkualiti. Kami akan cuba memberikan yang terbaik," kata Daniel Duristic.

Cabaran utama dijangka hadir daripada Thailand selaku gergasi Asia Tenggara dan Singapura.

Cuma, kelebihan Malaysia ialah menyesuaikan diri dengan lapangan Kelab Golf & Resort Mines, Selangor sejak Januari lalu.

Bagi skuad wanita, cabaran lebih sukar dan kali terakhir golf menyumbang emas ialah ketika Sukan SEA Singapura 1993.

Apa yang menarik, salah seorang pemain negara ketika itu, Lim Ai Lian, kini menabur bakti sebagai jurulatih negara.

"Pasukan golf negara sedang membuat persiapan yang rapi dan kami berharap dapat menghasilkan sesuatu dalam Sukan SEA nanti," kata pemain golf wanita negara, Loy Hee Ying.

Advertisement

Must Watch Video