Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Shalin yakin rebut tempat

shahlin-060718.jpg
Shalin Zulkifli mengakui prestasinya dalam Jelajah Persekutuan Pemain Boling Profesional (PWBA) Amerika Syarikat bulan lalu tidak berada di tahap memuaskan, namun dia masih yakin mampu menempatkan dirinya dalam kalangan enam atlet wanita negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

Namun, 12 atlet yang bakal beraksi bagi sukan boling akan diketahui selepas mesyuarat akhir Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) hari ini. 

Peluang Shalin untuk beraksi dalam Sukan SEA kelapannya dari 19 hingga 30 Ogos depan dilihat tetap ada biarpun cabaran beberapa pemain muda seperti Syaidatul Afifah dan Radin Nur Najwa Arifah semakin sengit. 

Ini memandangkan pengalamannya selama 25 tahun dalam dunia boling pasti ditagih ketua jurulatih, Holloway Cheah, bagi membantu pasukan. 

"Daripada atlet termuda, saya merupakan atlet boling paling senior sekarang. 

"Persaingan merebut tempat sememangnya sengit dalam mencari enam pemain wanita terbaik menjelang Sukan SEA. 

"Jurulatih kami mempunyai tugas yang sukar untuk memilih pemain," katanya. 

Sementara itu, Adrian Ang, yang masih segar daripada menjuarai Jelajah Boling Asia di Macau berasa gembira dengan kekuatan pasukan lelaki. 

Dia berasakan peluang pasukan lelaki mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut cukup cerah berdasarkan prestasi semasa rakan sepasukannya. 

"Peserta Singapura dan Thailand mampu memberikan saingan sengit. 

"Siapa yang memberikan aksi terbaik pada hari pertandingan akan menang. 

"Kami akan menampilkan aksi terbaik dari awal permainan lagi," ujarnya. 
 

Advertisement

Must Watch Video