Skip to main content

Bola Keranjang

Sukan SEA: Satu sukan tetapi dua misi berbeza

12617basketball.jpg
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menawarkan cabaran tersendiri buat skuad bola keranjang lelaki dan wanita.

Tidak dinafikan, skuad bola keranjang wanita diketuai jurulatihnya, Yoong Sze Yuin, berdepan tekanan lebih tinggi.

Skuad ini berada dalam senarai juara bertahan dengan keperluan mengekalkan pingat emas yang amat penting dalam misi kontinjen Malaysia untuk muncul juara keseluruhan.

Sebagai penganjur, skuad wanita negara hanya gagal sekali untuk muncul juara Sukan SEA, iaitu pada edisi 1989.

Pada edisi 1977 dan kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2001, emas menjadi milik negara.

Sekali lagi di bawah tekanan tinggi, adakah mampu untuk mereka mengekalkan kilauan emas?

"Kami dalam usaha untuk meningkatkan kekuatan mental bagi menghadapi tekanan dalam perlawanan-perlawanan penting. Bola keranjang merupakan antara sukan tumpuan untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA," kata Sze Yuin.

Berbeza dengan skuad wanita, skuad lelaki akan sentiasa berada dalam bayangan mereka berdasarkan pencapaian di pentas Sukan SEA.

Kali terakhir dan satu-satunya emas skuad lelaki adalah pada edisi 1989 dengan Malaysia menewaskan Filipina.

Sejak itu, jurang di antara dua pasukan ini bukan saja semakin ketara, malah Malaysia juga ibarat sukar menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik bermula 2011.

Filipina pula sudah berada dalam kelas tersendiri dengan Malaysia perlu mengatasi Thailand, Indonesia, dan Singapura untuk ke melangkah ke final.

Jika layak ke final, sudah pasti mereka akan mengatasi sasaran awal untuk sekurang-kurangnya cuba meraih gangsa.

"Sasaran saya adalah meraih pingat gangsa tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk mara ke final," kata pemain skuad bola keranjang lelaki, Kuen Tien Yuan. 

"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, telah menyatakan bahawa tiada sebarang masalah buat skuad bola keranjang wanita untuk ke final.

"Sasaran kami adalah cuba untuk meraih gangsa, jika dapat meraih lebih, ia akan menjadi bonus buat kami," kata pengendali skuad bola keranjang lelaki, Goh Cheng Huat.
 

Advertisement

Must Watch Video