SUKAN LAIN
Sukan SEA: Sambutan di ambang 31 Ogos lebih bermakna
Tiga jenis sukan sedia menghadapi perubahan tarikh upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan, dengan ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, memberi jaminan sasaran menyumbang 13 pingat emas tidak akan berubah.
Terjun, luncur air dan angkat berat, bagaimanapun, tidak terkesan dengan perubahan tarikh penutup temasya.
Ketiga-tiga sukan itu sepatutnya mempunyai acara pada tarikh asal, iaitu 31 Ogos, untuk merebut tujuh emas yang dipertandingkan.
Iklan
Antara sukan itu, terjun perlu berhati-hati kerana dua emas pada hari terakhir akan menentukan adakah mereka mampu mencapai sasaran untuk membolot kesemua 13 emas.
"Perubahan jadual pertandingan tidak akan menjejaskan kami, kami akan tetap memberi aksi terbaik," kata ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang.
Selain itu, luncur ais turut berdepan ujian besar.
Sebanyak empat emas sepatutnya dipertandingkan pada 31 Ogos, sekaligus memaksa Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk merombak jadual pertandingan.
Ia penting bagi mencapai sasaran dua emas untuk Malaysia.
"Biarpun jadual asal diubah, saya tetap yakin kami masih mampu menyumbang emas untuk Malaysia.
"Ia akan menjadi lebih menarik kerana ia akan berlaku di ambang 31 Ogos," kata Presiden ISAM, Fadzil Johan.
Angkat berat turut melahirkan nada sama.
Atlet angkat berat sedia menghadapi perubahan walaupun hanya satu emas dipertandingkan pada 31 Ogos nanti.
Apatah lagi, sukan ini tidak diletakkan sasaran untuk menyumbang emas dengan Malaysia diharap dapat mencipta kejutan mencuri salah satu daripada lima emas yang dipertandingkan.
"Persediaan kami akan tetap diteruskan untuk menghadapi Sukan SEA.
"Apa jua perancangannya, saya akan tetap hadapinya.
"Ini kerana misi dalam Sukan SEA ini amat besar kerana ia merupakan temasya sulung buat saya," kata atlet angkat berat kategori 56kg, Muhammad Hazal Wafi Izhar.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan tarikh tutup temasya terpaksa diawalkan sehari, iaitu kepada 30 Ogos, bagi menghormati sambutan Aidiladha pada 1 September.
Bagaimanapun, perubahan itu tidak mengubah sasaran kontinjen negara untuk muncul juara keseluruhan.
Must-Watch Video