Kesilapan mudah yang dilakukan penjaga gol Chelsea, Filip Jorgensen, membuka peluang kepada Paris Saint-Germain (PSG) meraih gol pendahuluan dan mencatat kemenangan besar 5-2 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes.
Chelsea dilihat mempamerkan aksi meyakinkan dan berjaya bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan 2-2, namun kesilapan Jorgensen yang cuba membuat hantaran keluar dari kawasan sendiri dipintas pemain PSG, Bradley Barcola, sekali gus membuka ruang kepada Vitinha untuk melambungkan bola melepasi penjaga gol itu bagi meletakkan juara Eropah itu kembali di hadapan.
Advertisement
Keadaan menjadi lebih sukar buat Chelsea apabila Khvicha Kvaratskhelia, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, meledak dua gol pada lewat permainan.
Pemain sayap Georgia itu terlebih dahulu menghasilkan rembatan lencong cantik dari luar kotak penalti sebelum menamatkan malam gemilang PSG dengan penyudah kaki kanan pada detik terakhir perlawanan.
Dalam perlawanan itu, PSG terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Barcola yang melepaskan rembatan padu menembusi kelompok pemain Chelsea selepas menerima bola berpunca daripada hantaran lintang Ousmane Dembele.
Chelsea kemudian menyamakan kedudukan menerusi Malo Gusto yang menewaskan penjaga gol PSG, Matvei Safonov, selepas menerima hantaran tepat daripada Enzo Fernandez.
Namun hanya beberapa saat selepas Cole Palmer gagal memanfaatkan peluang di hadapan gol, Dembele kembali meletakkan PSG di hadapan apabila menewaskan pertahanan Chelsea, Wesley Fofana, sebelum menyudahkan peluang itu dengan tenang.
Chelsea kembali menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua apabila Enzo menjaringkan gol hasil hantaran rendah pemain sayap Portugal, Pedro Neto.
Bagaimanapun, momentum Chelsea musnah selepas kesilapan Jorgensen membolehkan Vitinha menjaringkan gol ketiga PSG sebelum Kvaratskhelia menambah dua lagi jaringan untuk memastikan kelebihan besar menjadi milik tuan rumah.
Chelsea kini berdepan tugas sukar untuk bangkit apabila mereka perlu memadam defisit tiga gol ketika menerima kunjungan PSG pada aksi timbal balik di Stamford Bridge minggu hadapan.