RAGBI
Sukan SEA: Saingan sengit rebut tempat dalam skuad ragbi wanita
Jurulatih ragbi wanita tujuh sepasukan negara, Nik Safuan Ismade Nik Mat, dalam dilema untuk menyingkirkan hanya seorang pemain apabila senarai akhir yang diperlukan untuk mewakili cabaran negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hanyalah 12 pemain.
Daripada 25 pelatih yang telah melaporkan diri sejak November tahun lalu, Nik Safuan telah pun melakukan proses menyaring pemain. Kini menuju hanya kurang tiga bulan sebelum bermulanya temasya dari 19 hingga 30 Ogos depan itu, jumlah itu akan dikurangkan kepada 13 pemain.
Hanya 12 pemain yang akan tersenarai ke Sukan SEA, justeru, Nik Safuan akan menjadikan jelajah di Hong Kong pada pada 22 Jun depan sebagai medan penilaian terakhir buat skuadnya.
Iklan
"Ia merupakan medan pemilihan terakhir untuk senarai pemain Sukan SEA.
"Kami akan menilai prestasi, kecergasan dan corak permainan mereka.
"Bagi sesiapa yang mempamerkan penurunan prestasi, mereka pasti akan digugurkan," kata Nik Safuan.
Berbeza dengan dua tahun lalu di Singapura, skuad ragbi wanita tujuh sepasukan kali ini dibarisi ramai muka baru.
Cuma tonggak senior, Nor Masyirah Zahari, masih berada dalam skuad dan diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan.
"Setakat ini, prestasi kami sudah mencapai tahap 80 peratus, ada lagi yang perlu dipertingkatkan sungguhpun ia agak lewat.
"Kami telah melakukan persiapan secara sepenuh masa sejak November lalu.
"Majoriti pemain adalah terdiri daripada muka baru yang akan beraksi dalam Sukan SEA.
"Apapun, semuanya berjalan lancar," ujar ketua pasukan itu.
Must-Watch Video