SUKAN LAIN
Sukan SEA: Qabil jadi sandaran utama
Selepas sekadar meraih satu emas dalam Sukan SEA 2015 di Singapura, skuad ekuestrian negara berharap kehadiran semula bekas jaguh kebangsaan, Qabil Ambak Mahamad Fathil, dalam temasya 2017 bakal membawa kejayaan gemilang di gelanggang sendiri.
Kehadiran semula Qabil bagi acara show jumping sudah pasti menawarkan pengalaman berharga buat seluruh pasukan ekuestrian Malaysia.
Kali terakhir Qabil beraksi dalam temasya Sukan SEA adalah pada tahun 2007 di Korat yang menyaksikannya berjaya membawa pulang emas dalam acara dressage, individu serta berpasukan show jumping.
Iklan
Bagi Qabil, kembali beraksi di peringkat kompetitif bukan sesuatu yang mudah buat dirinya.
“Ia agak sukar buat saya selepas tidak beraksi di peringkat kompetitif dalam tempoh yang lama, jadi sekarang saya melalui proses latihan yang pantas dan padat,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia tidak mahu menjadikan isu tersebut sebagai satu alasan untuk menyerlah, terutama apabila beraksi di laman sendiri.
“Saya menjangkakan saingan yang sengit, namun sebagai tuan rumah, kami sedar perlu menampilkan aksi terbaik,” kata Qabil.
Sementara itu, saingan endurance bakal menampilkan Mohd Sulaiman Muda selaku sandaran utama.
Sulaiman memenangi emas dalam kategori sama ketika saingan di Myanmar pada 2013 dan yakin dapat beraksi di tahap terbaik, lebih-lebih lagi apabila bakal menggunakan kuda sendiri.
“Kami sudah sedia, insya-Allah semuanya akan berjalan lancar.
“Bermain di laman sendiri sudah tentu memberi kelebihan kepada kami walaupun peserta lain juga akan menggunakan kuda sendiri, contohnya pesaing hebat kami, Thailand,” kata Sulaiman.
Nada sama juga disuarakan Naib Presiden Persatuan Ekuestarian Malaysia, Mohamad Din Mat, yang optimis pasukan negara mampu menyinar dalam edisi kali ini.
“Kami menyasarkan dua pingat emas untuk skuad ekuestrian.
“Jika berjaya membawa pulang lebih daripada itu, ia adalah bonus,” kata Mohamad Din.
Must-Watch Video