Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Prospek emas balingan tukul besi Jackie

jackie-wong-tukul-besi-280617.jpg
Dengan lontaran sejauh 65.34 meter bagi aksi pingat perak dalam Terbuka Korea, Jeongson, Korea Selatan, semalam, atlet tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer, bukan sahaja prospek dalam Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos depan, malah berupaya meleburkan rekod kejohanan.

Ini kerana, pencapaian atlet berusia 24 tahun itu semakin menghampiri pencapaian atlet hebat Filipina, Caleb John Stuart, yang memegang rekod 65.63 meter selaku penyandang emas Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Namun, prestasi sederhana Caleb yang memiliki catatan terbaik peribadi 68.66 meter seharusnya menjadi pembakar semangat kepada Jackie. 

Ini kerana dalam tempoh lima bulan terakhir ini, atlet asal Sarikei, Sarawak itu telah empat kali memecah rekod kebangsaan yang juga catatan terbaik peribadinya.

Ini termasuk catatan 64.67 meter dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand di Bangkok, dua minggu lalu.



Justeru, tidak hairanlah dia menyasarkan balingan sejauh 66 meter dalam temasya dwi-tahunan pada 19 hingga30 Ogos depan.

"Dengan kejayaan merombak rekod kebangsaan sebanyak 10 kali sejak 2013, termasuk tiga kali pada tahun ini sahaja... waktu ini harus dilihat sebagai kemuncak prestasi saya.

"Saya harus menggunakan kesempatan ini untuk terus menggandakan pencapaian dan rekod," katanya.

Jackie kini berlatih di Mokpo, Korea Selatan, di bawah bimbingan jurulatih China, Gu Yuan.

"Ini peluang terbaik untuk emas, apatah lagi beraksi di halaman sendiri," katanya yang sekadar memungut gangsa dalam tiga aksi Sukan SEA sebelum ini, iaitu di  Palembang (2011), Myanmar (2013) dan Singapura (2015).

Dengan Sukan SEA semakin menghampiri, Jackie akan sekali lagi menyertai acara pemanas badan pada 6 hingga 9 Julai depan.

Dia akan beraksi dalam Kejohanan Olahraga Asia, satu lagi pentas yang menyediakan saingan kompetetif di rantau ini, semalam, dengan catatan 71.21 meter.

Advertisement

Must Watch Video