PETANQUE
Sukan SEA: Petanque mampu jadi lubuk emas negara
Selepas berjaya menamatkan kemarau emas dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, moral skuad petanque negara berada di tahap tertinggi untuk mencabar dominasi Thailand dalam temasya itu, 19-30 Ogos depan.
Dengan pendedahan banyak diterima pemain selain menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan dunia, pasukan petanque berpotensi menjadi lubuk emas terbaru kontinjen negara.
Skuad negara kali ini bakal diketuai pemenang pingat emas tunggal negara dalam acara individu Sukan SEA 2015, Muhd Hafizuddin Mat Daud.
Iklan
Dia sekali lagi menjadi sandaran utama skuad negara dengan cabaran hebat pasti datang daripada atlet Thailand dan Kemboja.
Walaupun jurulatih, Zani Lisa Mohamed, tidak menyenaraikannya untuk beberapa kejohanan luar negara, dia memahami itu merupakan sebahagian strategi pasukan negara.
"Semasa Sukan SEA 2015 banyak kekangan. Di belakang saya ada kawan-kawan dan jurulatih sebagai pendorong. Dalam Sukan SEA kali ini, sekiranya kawan-kawan saya masih memberi sokongan dan mempunyai jurulatih yang bagus, Insya-Allah saya akan mempertahankan emas," kata Hafizuddin.
Sementara itu, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, tidak mahu berputih mata kali ini selepas terlepas Sukan SEA di Singapura, dua tahun lalu.
Walaupun ini pentas pertamanya, dia yang akan bergandingan dengan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz dalam acara double wanita, berharap mampu menyumbang emas pertama negara dalam kategori wanita.
"Dalam penampilan pertama Sukan SEA ini, saya harap saya dapat menyumbang pingat untuk Malaysia.
"Bermain di gelanggang sendiri sudah tentu memberi kelebihan kepada kita. Saya akan gunakan pengalaman yang ada dalam Sukan SEA nanti," kata Sharifah Aqilah .
Bagi jurulatih, Zani, dia meletakkan sasaran pasukannya mampu memenangi sekurang-kurangnya dua pingat emas berdasarkan prestasi semasa.
Dia tidak terkejut jika daripada sepuluh acara final dalam Sukan SEA, empat atau lima atletnya mampu mara ke perlawanan akhir.
Malah, jurang kemampuan pasukan negara dengan Thailand semakin mengecil jika rekod pertemuan dalam beberapa kejohanan dunia dijadikan panduan.
"Walaupun sasaran yang diletakkan oleh persatuan adalah dua emas dan sasaran yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) adalah satu, saya rasa semua itu mampu direalisasikan oleh pemain.
"Kenapa? Dalam fasa terakhir ini, pemain telah mula menunjukkan kematangan dalam pelbagai aspek. Dalam aspek taktikal, pemain sudah mula matang. Dalam pada itu, mereka juga dilihat mampu menyerap tekanan dalam situasi genting," kata Zani.
Must-Watch Video