Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Pandelela asah taring dalam Kejohanan Dunia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pandelela-010617.jpg
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kian terasa kehangatannya dan sudah pasti barisan atlet negara tidak dapat lari daripada jadual padat untuk melakukan persiapan. 

Tidak terkecuali, skuad terjun negara yang bakal mencuri tumpuan apabila mereka ditetapkan sasaran menyapu bersih 13 pingat emas, sekaligus membantu Malaysia meraih gelaran juara keseluruhan bagi temasya dari 19 hingga 30 Ogos nanti. 

Barisan penerjun negara sudah membayangkan mereka bakal menjadi lombong emas buat Malaysia dalam Sukan SEA, sepertimana yang dilakukan di Singapura dua tahun lalu dengan menuai lapan emas. 

Setakat ini, skuad negara masih belum ada halangan untuk melengkapkan sasaran menyapu bersih emas apabila mereka konsisten membolot lapan emas dalam edisi 2013 dan 2015. 

Atlet terjun negara masih berkampung di China bersama-sama ketua jurulatih, Yang Zhuliang, untuk menjalani latihan intensif di sana sebelum kembali ke tanah air sejurus Kejohanan Dunia di Budapest, bulan depan, berakhir.  

Pandelela Rinong adalah antara yang sudah tidak asing lagi dalam arena terjun negara apabila sudah lima kali menyertai sukan dwi-tahunan itu dan sudah tentu dia ingin mengekalkan pingat emasnya dalam penampilan keenam bagi acara 10 meter platform individu dan seirama. 

Baginya, tekanan kian memuncak kerana misi untuk mengekalkan kejuaraan berturut-turut lebih sukar dilakukan berbanding mereka yang ingin merangkul emas buat julung kalinya. 

"Untuk latihan kali ini, Institut Sukan Negara (ISN) telah menyediakan pasukan bantuan perubatan dan latihan kami di China, diiringi pakar fisioterapi. 

"Saya yakin kami mampu memberikan persembahan terbaik dalam Sukan SEA," kata atlet kelahiran Sarawak itu. 

Satu lagi tugas penting buat Pandelela sebelum ke Sukan SEA adalah Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, yang bermula 14 Julai depan. 

Sepertimana negara pernah menyaksikan atlet berusia 24 tahun itu meraih podium dengan memenangi gangsa dalam Kejohanan Dunia 2015 di Kazan, kejayaan pada tahun ini di Budapest pasti akan menjadi penyuntik semangat baru untuknya mengharungi cabaran Sukan SEA jika berjaya ke podium buat sekian kalinya. 

Sebelum itu, Kejohanan Terjun Piala Asia di Macau dari16 hingga 18 Jun ini  juga akan disertainya bersama rakan seperjuangan yang lain. 

"Latihan di China mungkin akan ditingkatkan dari segi kuantiti dan kualiti. 

"Saya yakin Kejohanan Dunia adalah pentas untuk saya membuat persediaan lebih baik dalam Sukan SEA. 

"Semua negara yang hebat-hebat seperti China, Kanada, Australia dan Great Britain akan menyertai Kejohanan Dunia," kata Pandelela.

Kurang tiga bulan sahaja lagi, debaran kian terasa menantikan aksi hebat daripada penerjun negara. Bukan sahaja Pandelela, malah daripada Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman. 

Advertisement

Must Watch Video