Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Nur Afisa tekad baiki keputusan

nur-afisa.jpg
Penampilan kedua di pentas Sukan SEA diharap mampu mendatangkan keputusan lebih baik buat pemanah recurve wanita negara, Nur Afisa Abdul Halil.

Atlet berusia 18 tahun itu juga yakin jurang di antara negara pilihan seperti Vietnam dan Indonesia juga semakin dekat menjelang temasya Kuala Lumpur 2017.

"Sasaran utama adalah dalam acara berpasukan sementara saya akan menguji kemampuan saya dalam acara individu.

"Saingan kali ini, tahap kesukaran mungkin sama tapi bezanya kali ini jurang di antara kami dengan pemanah Indonesia dan Vietnam boleh dikatakan setanding. Insya-Allah kami akan cuba sehabis mungkin," kata Afisa.

Bercakap tentang peluang skuad negara dalam Siri Ketiga Kejohanan Memanah Asia di Taiwan, Afisa berkata: "Awal bulan Julai ini di Taiwan, kami akan cuba mengurangkan kesilapan berbanding tahun lalu.

"Ini adalah medan penting bagi kami mengutip pengalaman menjelang aksi di Kuala Lumpur nanti," tambahnya.

Dua tahun lalu di Singapura, Nur Afisa meraih gangsa dalam acara berpasukan wanita dengan Vietnam membawa pulang emas sementara perak menjadi milik Indonesia.

Ketika itu, Afisa digandingkan bersama-sama Loke Shin Hui serta Farah Amalina Azhar.

Ternyata pengalaman itu menyuntik semangat buat Nur Afisa walaupun menyedari cabaran besar pastinya beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Untuk rekod, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) meletakkan sasaran empat emas dalam Sukan SEA kali ini berbanding lima pingat yang dimenangi pada 2015.

Antara pencapaian terbaik Nur Afisa tahun ini ialah mara ke suku akhir acara individu dalam Siri Pertama Kejohanan Memanah Asia di Bangkok, Mac lalu selain berjaya melangkah ke pusingan ketiga bagi saingan berpasukan.

Advertisement

Must Watch Video