KARATE
Sukan SEA: MAKAF letak sasaran enam pingat emas
Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) hanya menyasarkan enam pingat emas bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas menyerahkan senarai akhir 21 atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menghadapi kempen kali ini.
MAKAF, bagaimanapun, enggan mendedahkan 21 nama tetapi angka itu adalah dibawah kuota maksimum 26 atlet yang dibenarkan bagi mengutamakan kualiti.
Bagaimanapun, beberapa tonggak skuad karate seperti Syakila Salni Jefri Krisnan, S. Shree Sharmini dan S. Senthil Kumaran tersenarai untuk memacu skuad karate negara yang sentiasa dianggap lombong emas dalam temasya Sukan SEA.
Iklan
MAKAF juga mahu mengelak menjadikan kejayaan Sukan SEA Myanmar 2013 sebagai penanda aras pemilihan, sebaliknya melihat kepada prestasi semasa atlet negara.
"Kami berdasarkan prestasi atlet beraksi di pentas antarabangsa baru-baru ini. 2013 adalah empat tahun yang lalu, kami tidak boleh menilai kebolehan mereka berdasarkan Sukan SEA Myanmar," kata Setiausaha Agung MAKAF, Vincent Chen.
Sasaran enam emas itu kurang satu berbanding tujuh yang berjaya dituai skuad negara ketika di Myanmar empat tahun lalu.
Karate menyumbang 15 pingat di Myanmar, termasuk tiga perak dan lima gangsa untuk muncul juara keseluruhan acara ini.
"Sasaran kami adalah emas pingat emas. Saya tidak boleh menyatakan secara terperinci kerana ia akan memberikan tekanan kepada atlet tersebut."
Must-Watch Video