Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Khairul Hafiz nantikan cabaran Cray

khairul-hafiz-jantan_1.jpg
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, terkejut apabila dimaklumkan bahawa penyandang juara acara 100 meter Sukan SEA, Eric Cray dari Filipina, mengesahkan penyertaan dalam acara riben biru itu, sekaligus menjadi penghalang utama untuk dia merebut gelaran raja pecut Asia Tenggara.

Tarikh tutup pendaftaran atlet Jumaat lalu menyaksikan Eric akan bertanding dalam acara 100 dan 400m berpagar.

Atlet pecut Filipina itu sebelum ini mengatakan akan menarik diri daripada acara 100m atas faktor kepadatan jadual..

Bagaimanapun, atlet yang memiliki catatan peribadi terbaik 10.25 saat ini membuat keputusan untuk mengambil risiko dengan bertanding dalam kedua-dua acara.

"Saya agak terperanjat kerana sebelum ini dia cuma akan bersaing dalam acara 400m tetapi selepas dia disahkan mendaftarkan diri, saya lebih bersemangat untuk bersaing," kata Khairul.

Apa yang menarik,kedua-dua pelari berkongsi catatan terbaik musim ini dengan masa 10.31s, namun Khairul memiliki kelebihan apabila mencatat 10.18s yang juga rekod kebangsaan yang dilakukan dalam Sukan Malaysia  (Sukma) Sarawak, tahun lalu.

Sementara itu, harapan untuk menyaksikan kedua-dua atlet ini bertemu dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di India bermula Khamis ini tidak kesampaian apabila Eric tidak beraksi dalam acara 100m manakala Khairul akan mencabar acara 100, 200 dan 4x100m.

"Saya akan cuba buat yang terbaik bagi mengejar catatan masa terbaik saya, 10.18s, di India dan juga di Kuala Lumpur 2017," tambah Khairul.
 

Advertisement

Must Watch Video