Kapten memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, tidak panik apabila jatuh ke ranking ke-48 dunia, termasuk ketinggalan di belakang pemanah Indonesia dan Thailand, menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.
Ini merupakan kedudukan terburuk Khairul sejak menyertai skuad elit negara pada 2011.
Pada 2012, Khairul berjaya meraih pencapaian peribadi terbaik apabila menghuni ranking ketiga dunia.
Apa yang membimbangkan, kini pemanah kelahiran Terengganu itu ketinggalan di belakang pemanah Indonesia, Riau Ega Egatha, dan Witthaya Thamwong dari Thailand
Khairul tenang menghadapi situasi ini, malah menyifatkan perubahan kedudukan ranking adalah perkara biasa.
"Kami akan menghadiri tiga kejohanan untuk memperbaiki ranking dunia. Di dalam sukan memanah, jika tidak beraksi dalam satu kejohanan, kedudukan ranking mudah terjejas dan ia merupakan perkara biasa," katanya.
Skuad memanah menyumbang lima emas dalam Sukan SEA Singapura 2015, satu daripadanya menerusi acara recurve.
Pemanah elit negara belum menyertai sebarang kejohanan tahun ini selepas Grand Prix Asia pertama di India, dibatalkan.
Skuad kendalian Lee Jae-Hyung itu dijadualkan menyertai Grand Prix Asia Kedua di Bangkok, Thailand, bulan depan sambil dibayangi masalah kesihatan pemanah senior, Mohd Haziq Kamaruddin.
"GP Asia merupakan satu pertandingan yang besar pada setiap tahun. Sebagai persiapan ke Bangkok, kami banyak menyertai kejohanan di Malaysia."
Sukan Lain