BOLING PADANG
Sukan SEA: Kejohanan pemanas badan beri bayangan positif
Atlet boling padang negara, Mohd Amir Mohammed, menyifatkan sasaran empat pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mampu dicapai selepas Malaysia meraih enam daripada lapan emas dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Skuad boling padang akan turun dengan keyakinan tinggi selepas mendominasi jaguh Asia Tenggara yang lain, kelmarin.
Hanya Filipina tidak menurunkan atlet utama mereka, namun ia dijangka tidak banyak menjejaskan peluang Malaysia memburu sasaran empat emas.
Iklan
"Berdasarkan sasaran yang ditetapkan jurulatih, saya berasakan kami akan tetap memenangi emas manakala bagi acara yang tidak dijangka, kami akan memberikan cabaran untuk menang emas," kata peserta acara trio lelaki negara itu.
Boling padang kembali dipertandingkan selepas kali terakhir di Korat 2007.
Ketika itu, Malaysia meraih empat emas, sekaligus merupakan pencapaian terbaik negara.
"Sebelum ini, kami berlatih di Bayu Emas dan kepantasan bola tidak begitu ketara (dibandingkan) dengan permukaan padang di Bukit Kiara.
"Jadi, atlet-atlet tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan lontaran seperti dalam latihan," ujar jurulatih negara, Syed Mohamad Syed Akil.
Kali ini, Malaysia akan dibarisi ramai atlet senior seperti bekas juara dunia, Safuan Said, selain Siti Zalina Ahmad yang akan berganding dengan Auni Fathiah Kamis dalam acara beregu.
"Saya sudah berganding dengan Siti Zalina sejak 2015 dan ini merupakan pengalaman saya beraksi dalam Sukan SEA.
"Pencapaian dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA adalah bagus untuk kami mengekalkan kilauan emas dalam kejohanan sebenar nanti," kata Auni Fathiah.
Must-Watch Video