Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Jun Hoong sertai dua acara

cheong-jun-hoonh-250717.jpg
Juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong, hanya akan menyertai dua acara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana ketua jurulatih negara, Yang Zhuliang, mahu memberi peluang kepada penerjun muda mencapai sasaran 11 pingat emas yang ditetapkan. 

Ini kerana Jun Hoong dianggap terlalu hebat untuk mencabar dalam Sukan SEA, bulan depan. 

Gelaran juara dunia dalam acara 10 meter individu platform meletakkannya sebagai penerjun tumpuan dalam acara terjun yang menawarkan 13 emas dalam lapan acara yang dipertandingkan. 

Untuk itu, Zhuliang berpendapat Jun Hoong perlu direhatkan bagi memberi laluan kepada penerjun muda. 

"Jun Hoong akan mengambil bahagian dalam 1m papan anjal dan 10m individu platform di mana untuk ditahapnya sekarang, ia adalah terlalu tinggi. 

"Sudah tentu kami mengenal pasti atlet berdasarkan kemampuan terbaik mereka bagi acara itu," kata jurulatih dari China itu. 

Jun Hoong berjanji dia tidak akan mengecewakan peminat negara dengan berkata: "Saya akan mencuba yang terbaik mengikut perancangan jurulatih."

Skuad negara berpeluang menguji Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil sehari sebaik tiba di tanah air. 

Semua atlet berpuas hati, terutama dengan keadaan papan anjal dan getah platform yang sudah ditukar baru. 

"Ini adalah kali pertama saya datang ke sini dan saya berasa gembira kerana kolam ini sudah diubahsuai," kata Pandelela Rinong. 

Penerjun lelaki negara, Ahmad Amsyar Azman, juga memuji langkah mengubahsuai Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. 

"Setakat ini semuanya bagus, tindak balas papan anjal juga bagus mengikut standard kejohanan anjuran Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA)," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video