SUKAN LAIN

Sukan SEA: Jawatankuasa pengelola temasya hampir dimuktamadkan -- Hannah

Stadium Astro
Shaiful Shamsudin
27/03/2025
10:14 MYT
Sponsor Banner
Sukan SEA: Jawatankuasa pengelola temasya hampir dimuktamadkan -- Hannah
Pengumuman Kementerian Belia dan Sukan mengenai keputusan jemaah menteri meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15 menimbulkan tanda tanya mengenai siapa individu yang paling layak untuk diberikan tanggungjawab bagi melunaskan persiapan Malaysia sebagai tuan rumah.
Keputusan yang dibuat ketika mesyuarat jemaah menteri itu menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bakal mempengerusikan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 itu.
Hannah bakal dibantu 16 jawatankuasa kecil yang menyaksikan pembabitan pelbagai kementerian, agensi dan badan sukan demi memastikan penglibatan menyeluruh semua pemegang taruh sukan negara.
"Selepas Hari Raya ini, kami adakan perbincangan dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk memuktamadkan perancangan yang melibatkan penggajian.
"Selepas perbincangan dengan JPA, kami akan lantik CEO yang akan membuat keputusan mengenai pelantikan jawatan yang lain," katanya.
Sementara itu, Hannah juga beri bayangan ketua pegawai eksekutif (CEO) yang akan berkhidmat untuk jawatankuasa pengelola ini adalah individu yang sudah masak dengan temasya tersebut.
Dengan cabaran besar kali ini, empat lokasi utama menjadi tumpuan untuk sukan sea 2027 iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kuching, Sarawak.
Hannah ditemui dalam Majlis Perasmian Taska TEAM MAS di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, hari ini di mana usaha ini memfokuskan kebajikan atlet, jurulatih dan warga agensi sukan di Bandar Sukan KL dalam meringankan beban ketika melakukan tugas mereka.
"Sesiapa yang dilantik sebagai CEO, dia perlu berlari dengan cepat.
"Penganjuran ini sangat unik kerana melibatkan empat kawasan bandar jadi banyak pelarasan diperlukan kerana melibatkan empat lokasi bandaraya yang berbeza.
"Semestinya saya akan cari CEO yang berpengalaman dalam urus tadbir dalam penganjuran Sukan SEA, kena ada kesinambungan.
"Kita kesuntukan masa jadi orang itu mesti seseorang yang banyak pengalaman dalam Sukan SEA lalu.
"Paling penting adalah akaun -- pastikan akaun itu diuruskan dengan baik," katanya lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video