Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Hariff mohon tidak digugurkan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

harrif-salleh.jpg
Pelumba lebuhraya negara, Mohd Hariff Salleh, memohon agar tidak digugurkan daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana yakin sempat pulih daripada kecederaan retak tulang belakang agar dapat mempertahankan dua pingat emas dalam temasya itu, bulan depan.

Hariff memulakan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) selepas disahkan mengalami retak tulang belakang susulan terlibat dalam kemalangan dalam Jelajah Korea Selatan, tiga minggu lalu.

Pakar pecut itu tetap bersemangat untuk mencabar dalam Sukan SEA walaupun terpaksa melupakan kem latihan pusat di Melbourne, Australia, yang telah pun bermula semalam.

Keutamaan pelumba berusia 28 tahun itu ialah segera mendapatkan rawatan dan pulih dalam masa terdekat.

"Semangat Sukan SEA tidak pernah putus. Saya masih membuat latihan kayuhan walaupun dalam keadaan macam ini.

"Bagaimanapun, doktor menasihatkan saya untuk melakukan kayuhan ringan. Jadi, buat masa ini, saya perlu mengikut prosedur yang ditetapkan ISN," jelas Hariff.

Skuad lebuhraya menyumbang dua pingat emas dalam temasya di Singapura dua tahun lalu, kedua-duanya menerusi Hariff.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) adalah antara persatuan yang menetapkan sasaran tinggi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila acara itu dijangka menjadi antara lubuk emas kontinjen negara.

Pelumba negara dijangka mampu meraih 15 emas, kebanyakannya menerusi acara trek.

Advertisement

Must Watch Video