Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Harapan tinggi buat Khairul, Zaidatul

8617_100meters.jpg
Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah Zulkifli akan menjadi azimat untuk kebangkitan skuad olahraga negara dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Dua jaguh pecut itu muncul selepas Malaysia ditimpa kemerosotan mendadak sejak 10 tahun lalu.

Skuad olahraga negara pernah muncul sebagai jaguh Asia Tenggara dengan membolot 16 pingat emas dalam Sukan SEA Jakarta pada 1997.

Namun, selepas seorang demi seorang jaguh negara bersara, ia meninggalkan kekosongan yang gagal diisi pendatang baru.

Kemuncaknya, olahraga hanya mampu meraih tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa dalam Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Ia prestasi terburuk dalam sejarah Sukan SEA dan mimpi ngeri buat kontinjen negara kerana olahraga adalah acara kedua paling banyak menawarkan pingat dengan 46 emas.

Selepas dua tahun, banyak perubahan positif berlaku -- kemunculan Khairul Hafiz selaku pemegang baru rekod 100 meter kebangsaan dengan 10.18 saat, mengatasi rekod lama milik Watson Nyambek, 10.30s. Begitu juga Zaidatul apabila mengatasi rekod G.Shanti dengan 11.45s. 

Lebih sedekad Malaysia tidak memiliki raja dan ratu pecut Asia Tenggara.

Jika mereka berjaya melakukannya, ia akan menjadi pembakar semangat terbaik demi kebangkitan skuad olahraga negara.

"Sekarang ini hanya fokus kepada latihan atau fokus kepada diri sendiri untuk capai apa yang kita mahukan, dan yang paling penting mental perlu kuat buat masa sekarang," kata Zaidatul.

Apa yang menarik, skuad olahraga antara yang mempamer kebangkitan menakjubkan sebelum Sukan SEA apabila kerap memecahkan rekod kebangsaan.

Selain Zaidatul dan Khairul Hafiz, Rayzam Shah Wan Sofian (110m berpagar), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jackie Wong dan Grace Wong (baling tukul besi) turut memperagakan prestasi cemerlang.

Begitu juga dengan tiga pemenang emas di Singapura, Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Irfan.

"Sudah tentu saya mahu menyumbang pingat kepada negara dan pada masa sama, saya mahukan emas. Saya fikir saya mampu menang dan ia sesuatu yang boleh dicapai," kata Nauraj.

"Nauraj mengekalkan prestasinya dengan catatan-catatan yang cukup membanggakan -- dua rekod kebangsaan dalam tempoh dua tahun, melayakkan diri ke Sukan Olimpik tahun lalu dan Kejohanan Dunia di London pada tahun ini," kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.

"Kami melihat Irfan akan mengekalkan pingat emas yang dia peroleh di Singapura dua tahun lalu. Hakimi juga telah mula kembali ke tahap prestasi terbaiknya dan kami jangkakan dia akan memberikan saingan yang kuat untuk mempertahankan rekod dan juga emas yang dia menangi." 

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yakin sekurang-kurangnya tiga emas berada dalam genggaman.

Namun jika segalanya mengikut perancangan, Malaysia mampu memperoleh lebih daripada tujuh emas untuk meraih pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun.


Pencapaian skuad olahraga negara dalam Sukan SEA: 
 
               E     P      G
2007        7     3      9
2009        6     6      4
2011        5     2      3
2013        4     6      3
2015        3     2      9

Advertisement

Must Watch Video