Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Hafifi kembali jalani latihan ringan

hafifi-mansor.jpg
Atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, menghadirkan perkembangan positif untuk mengibarkan cabaran dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila berjaya mengangkat bebanan dalam sesi latihan pertama sejak ditimpa kecederaan hamstring, minggu lalu.

Hafifi hanya dibenarkan mengangkat bebanan ringan dalam sesi latihan pertama di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Meskipun sekadar mengangkat bebanan 35kg, namun ia perkembangan positif buat pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 itu dalam misi menghadirkan emas dalam temasya Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Atlet berusia 26 tahun itu dijangka pulih sepenuhnya seminggu sebelum Sukan SEA bermula.

"Ini hari pertama saya turun berlatih. Saya rasa cukup bersemangat selepas mendengar nasihat doktor dan jurulatih.

"Doktor juga menasihatkan saya enam minggu untuk rehat. Tetapi saya meminta izin daripada doktor untuk hanya berehat selama tiga minggu.

"Saya memang dapat beraksi dalam Sukan SEA tetapi saya cuma bimbang jika tidak dapat memberikan aksi terbaik saya," jelasnya.

Hafifi mengalami kecederaan hamstring paha kiri ketika menjalani kem latihan pusat di China.

Walaupun seakan-akan mustahil untuk memberi cabaran dalam temasya dwitahunan itu, jaguh kelahiran Terengganu ini tetap diletakkan sebagai harapan utama skuad angkat berat meraih emas.
 

Advertisement

Must Watch Video