BERBASIKAL
Sukan SEA: Fauzan sedia balas kepercayaan
Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, bertekad membalas kepercayaan jurulatih negara, Syed Mohd Hussein Syed Mazlan, yang memilihnya dalam senarai akhir pelumba ke Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan.
Sebelum ini, status Fauzan ke Sukan SEA menjadi tanda tanya, namun dimuktamadkan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM), beberapa hari lalu.
Fauzan akan bersaing dalam kategori ujian masa berpasukan bersama Nik Mohd Azwan Zulkiflie serta pasangan adik beradik, Amir dan Ameen Mohd Kamal.
Iklan
"Saya berterima kasih kepada jurulatih, Syed Hussein, yang masih memberi kepercayaan kepada saya yang sudah dianggap kuda tua ini," katanya.
Biarpun masa kian suntuk untuk mencari keserasian, Fauzan tidak berasakan ia masalah besar.
Buat masa ini, dia masih meneruskan latihan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Latihan pusat untuk skuad berbasikal lebuh raya negara akan bermula Julai depan di Thailand.
"Kami akan menjalani latihan pusat selama sebulan di Thailand, kemudian saya akan ke Amerika Syarikat untuk menyertai pertandingan Kejohanan MTB Polis Sedunia sebelum kembali ke negara untuk menghadapi Sukan SEA.
"Saya berasakan tiada masalah untuk saya berkomunikasi dan membentuk keserasian bersama pasukan negara dalam tempoh sebulan-dua ini."
Must-Watch Video