Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Cukuplah dengan sasaran juara keseluruhan -- Marina

12516marina.jpg
Chef-de-mission Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Marina Chin, menegaskan cukup dengan ketetapan sasaran memburu juara keseluruhan berbanding menentukan jumlah pingat yang perlu dicapai dalam temasya dwi-tahunan itu.

Laporan mengenai jumlah sasaran sebanyak 109 pingat emas yang tersebar meluas sejak Ahad lalu dinafikan oleh Marina, sambil mengharapkan tiada lagi anggaran sedemikian diutarakan.

Ia bagi mengelakkan tekanan yang boleh menghimpit atlet dan jurulatih jika terus dibelenggu dengan persoalan sasaran sebenar pingat temasya dwi-tahunan itu.

Baginya, cukuplah dengan sasaran menjadi juara keseluruhan diletakkan untuk kontinjen negara setakat ini dan bukan jumlah sebenar pingat emas.

"Saya tidak berhak menafikan harapan untuk melihat kontinjen negara menjadi juara keseluruhan Sukan SEA, namun saya tidak mahu memberikan tekanan kepada atlet-atlet negara," katanya.

Marina berkata demikian ketika ditemui melawat penjaga gol futsal wanita negara, Nurul Atiqa Zaifulizan, yang sakit sejak tiga minggu lalu di Subang Jaya, hari ini.

Kaki dan tangan kiri pemain itu lumpuh secara tiba-tiba dan punca sebenar masih tidak dapat dikesan oleh doktor.

"Kami turut bersedih dengan apa yang dialami oleh atlet ini kerana dia masih muda. Kami mahu memberikan sokongan moral kepadanya."

Advertisement

Must Watch Video