Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Birmingham gesa perenang pamer peningkatan

paul-birmingham_1.jpg
Sukan renang adalah antara yang bakal mencuri tumpuan di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, dengan Jelajah Mare Nostrum 2017 bakal menjadi penilaian buat tujuh perenang negara sebelum Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memuktamadkan senarai atlet ke temasya Ogos ini.

Selepas berakhir saingan Terbuka Malaysia, Mei lalu, ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham, masih belum berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang di anggap masih belum di tahap sebenar   apabila tiada seorang pun berjaya memperbaharui mana-mana rekod kebangsaan.

Bagaimanapun, tujuh perenang negara tersebut, Welson Sim, Keith Lim, Chan Jie, Tern Jian Han, Caroline Chan, Phee Jinq En dan Wong Fu Kang diletakkan sandaran untuk membuktikan sesuatu dalam Jelajah Mare Nostrum yang bakal berlangsung dari 10 hingga 18 Jun ini.

Mereka akan mempertaruhkan aksi di tiga venue, iaitu Monaco, Barcelona, dan Perancis, di mana Birmingham mahukan setiap perenang untuk sekurang-kurangnya memperbaharui rekod peribadi.

Jelajah ini juga penting dalam menentukan nama atlet yang bakal ke Sukan SEA.

"Ia satu pendedahan yang baik untuk mereka. Dalam tempoh 10 hari, mereka akan menempuh tiga kejohanan. Kejohanan ini cukup berkualiti, jadi ia satu peluang baik untuk mereka," ujar Birmingham.

Sementara itu, Jinq En, pemenang pingat emas acara 100m kuak dada dalam Sukan SEA Singapura 2015, tidak mahu berputih mata di laman sendiri apabila berazam untuk mengekalkan pingat emas itu. 

Dia yang kembali berlatih di tanah air selepas pulang dari Amerika Syarikat, tidak menolak agak tertekan dengan masa yang kian suntuk untuk menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Ketika di Amerika Syarikat, saya terpaksa mengubah cara renangan saya kerana berlatih di kolam renang 'short course' tetapi kini saya kembali berlatih di 'long course', jadi saya perlu mengubah teknik saya kembali," jelas Jinq En.

Welson Sim juga antara yang diberi tumpuan apabila Malaysia ingin melihat atlet dari Sarawak itu mengekalkan pingat emas 400 meter gaya bebas yang diraih dua tahun lalu.

Dia yang juga masih lagi pemegang rekod kebangsaan 200m dengan catatan 1 minit 47.67 saat, sedar dengan harapan tinggi negara dan enggan negara lain merampas pingat emas yang pernah menjadi miliknya.

Selepas berakhir Jelajah Mare Nostrum, Welson dan perenang lain akan terus fokus dengan latihan intensif yang mungkin diadakan di Sarawak, Julai ini.

"Latihan berjalan dengan baik. Saya tidak cuba meletakkan tekanan yang tidak perlu ke atas diri saya. Saya masih ada masa untuk berlatih, jadi kita lihat apa keputusannya nanti," jelas Welson.
 

Advertisement

Must Watch Video