Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Beng Choo nafi sasaran Malaysia 109 emas

bengchoo.jpg
Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, menafikan 109 pingat emas menjadi sasaran negara untuk Sukan SEA, Ogos ini, dengan melabelkan jumlah itu hanyalah anggaran kasar daripada pihak persatuan sendiri.

Perkhabaran mengenai jumlah sasaran Sukan SEA  sebanyak 109 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan, semakin meluas sejak kelmarin.

Beng Choo, bagaimanapun, tampil menafikan jumlah itu sebagai sasaran negara, ketika mesyuarat pemilihan atlet hanya akan berlangsung pada Mac depan.

Tegasnya, jumlah yang diperkatakan itu lebih kepada anggaran sambil menafikan ia sebagai sasaran sebenar kontinjen Sukan SEA kali ini.

"Itu adalah sasaran persatuan, lagipun MOM belum bermesyuarat dengan jawatankuasa pemilihan. Jadi, sebelum pilih atlet, bagaimana kita tahu sasarannya," katanya. 

Beng Choo berkata dengan berbaki tujuh bulan sebelum Sukan SEA, masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran pingat ketika beberapa aspek seperti prestasi dan kecederaan atlet sedang diperhalusi ketika ini.

"Saya fikir itu bukan sasaran tetapi anggaran kerana persatuan belum tahu siapa atlet untuk bertanding dalam mana-mana acara. Kini, kami masih berada dalam fasa kedua program Kita Juara dan ia akan diperhalusi lagi pada Mac nanti," tambahnya.

Ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001, Malaysia mencipta kejayaan besar apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan mengumpul 111 pingat emas.

Advertisement

Must Watch Video