Skip to main content

Bola Jaring

Sukan SEA: Anak buah Aminah laung keyakinan

bola-jaring-060717_1.jpg
Seramai 12 pemain dalam senarai akhir skuad bola jaring negara sedia menggalas hasrat besar Malaysia untuk meraih emas Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Ada kejutan yang berlaku dalam pemilihan kali ini apabila kapten sejak 2014, Nurul Adha Abu Bakar, tersisih daripada senarai akhir 12 pemain, namun jaminan lantang dilaungkan pemain negara untuk memastikan sasaran emas menjadi kenyataan.

"Adha adalah antara pemain terbaik tetapi mungkin rezekinya tidak ada setakat ini. Ia bukan penutup kerana kami masih ada masa lagi dan dia tetap berada dalam pasukan kalau ada rezekinya," kata jurulatih, Aminah Asaari.

Bagi kapten baru, Nur Syafazliana Mohd Ali, skuad kali ini lebih matang jika dibandingkan dengan pasukan dua tahun lalu selain beraksi di laman sendiri merupakan kelebihan utama untuk Malaysia menyaingi cabaran penyandang emas terdahulu, Singapura.

"Kali ini saya dilantik sebagai kapten. Tugasnya memang berat. Apa yang kami impikan adalah emas, jadi kami akan berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkannya," katanya.

Segala-galanya kini berjalan seperti apa yang telah direncanakan dan persiapan akhir di Melbourne, Australia, dari 6 hingga 14 Julai ini merupakan persediaan terakhir sebelum saingan sebenar bermula.

Sudah pasti kecederaan pada saat-saat akhir menjadi kerisauan utama skuad bimbingan Tracey Robinson itu dan hal ini disuarakan penolong kapten, Pow Mei Foong, yang benar-benar mengharapkan Malaysia mampu merampas kembali pingat emas yang diraih Singapura dua tahun lalu.

"Apa sahaja boleh berlaku, kami tidak tahu masa itu (hari pertandingan) boleh beraksi baik atau tidak. Itu sahaja yang membuatkan kami semua risau," katanya.

Skuad bola jaring negara berlepas ke Melbourne, Australia hari ini dalam usaha mempersiapkan diri serta menghadapi pertandingan sebelum kembali ke Malaysia bagi siri pemanas badan terakhir dalam saingan Pra-Sukan SEA pada 20 Julai.

Dengan tiket untuk acara bola jaring Sukan SEA sudah habis dijual hanya dalam beberapa jam selepas pelancaran tiket semalam, ia pasti menyuntik semangat buat pemain bola jaring negara dalam memastikan emas kali ini dalam genggaman.

Kali terakhir skuad bola jaring wanita meraih emas ialah dalam Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dan diharapkan edisi kali ini akan menyaksikan mereka kembali unggul dengan kilauan emas bulan depan.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video