Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Al-Jufferi yakin sasaran lapan emas mampu dicapai

al-jufferi.jpg
Skuad silat negara berada di landasan sebenar menuju ke Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan berdasarkan pengorbanan mereka berkampung di Vietnam untuk tempoh hampir tiga minggu dalam misi merealisasikan sasaran lapan pingat emas.

Terpaksa berjauhan dengan keluarga dan mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri demi negara tercinta bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Tetapi begitulah yang dilaksanakan 26 atlet yang dibawa ke perkampungan terpencil di pergunungan Da Lat, Vietnam untuk menjalani latihan intensif menjelang temasya Kuala Lumpur 2017.

Mereka hanya akan kembali ke tanah air 7 Julai ini sebelum dijangka menyertai kem motivasi di Gunung Ledang, Johor selama lima hari pertengahan bulan ini.

Bukan itu sahaja, barisan atlet berkenaan juga akan turut ke Cameron Highlands, Pahang untuk 10 hari sekembalinya dari Gunung Ledang bagi menyambung sesi latihan di sana.

Sememangnya, pendedahan yang cukup baik diberikan kepada mereka bagi benar-benar bersedia daripada segi mental dan fizikal sebelum ke latihan fasa akhir oleh Majlis Sukan Negara  (MSN) awal bulan depan.

"Bagi saya, sasaran itu bukan satu tekanan, sebaliknya ia menguatkan lagi diri saya bagi mencapai sasaran itu," jelas pesilat lelaki negara, Mohd Al-Jufferi Jamari.

Lapan pingat emas mungkin tampak sukar untuk diraih jika dibandingkan dengan pencapaian tiga emas yang diperoleh di Singapura, dua tahun lalu.

Tetapi, bagi pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Siti Rahmah Md Nasir, 26 atlet yang bakal menggalas cabaran ini mampu membuktikan sasaran itu bukan mustahil.

Tidak menolak bukan mudah untuknya berusaha mempertahankan gelaran juara, Rahmah percaya apa yang telah diajar dalam latihan mampu dipraktikkan sebaik-baiknya di gelanggang sebenar nanti.

"Bagi saya tiada pencabar spesifik. Setiap atlet Asia yang bertanding hebat-hebat belaka. 

"Jadi, saya akan cuba menewaskan setiap daripada mereka," jelas Siti Rahmah.
 

Advertisement

Must Watch Video