Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Aifa tekad jelmakan kilauan emas

050617aifa.jpg
Bintang skuasy remaja negara, Aifa Azman, mengakui dirinya bertuah apabila terpilih mewakili negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur pada usia 15 tahun, sekali gus bertekad memberikan persembahan terbaik untuk menjelmakan kilauan emas buat kontinjen negara.

Aifa adalah antara lapan pemain skuasy wanita yang terpilih mewakili negara dalam temasya KL2017.

Berbekalkan kejayaan memenangi Kejohanan Remaja Terbuka Britain tahun lalu, atlet kelahiran Alor Setar, Kedah ini muncul pemain termuda dalam barisan skuad wanita negara kali ini.

Aifa optimis faktor usia bukan penghalang untuk menampilkan prestasi cemerlang dalam usaha membantu skuad negara mencapai misi tujuh emas dalam Sukan SEA nanti.

"Saya sangat gembira kerana beraksi di pentas Sukan SEA, saya berharap dapat meraih pingat emas buat negara," katanya.

Selain Aifa, barisan wanita negara turut dianggotai Rachel Arnold, S. Sivasangari, Andrea Lee, Zoe Foo, Ooi Kah Yan, Chan Yiwen dan Lai Wen Li.

Aifa akan berlepas ke New Zealand pada Isnin untuk menjalani latihan intensif selama dua minggu.

Dia kemudian akan menyertai Kejohanan Individu Remaja Dunia di negara yang sama bulan depan sebagai persediaan terakhir menghadapi KL2017.

"Saya meletakkan sasaran untuk mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik dalam Kejohanan Remaja Dunia."

"Atlet bukan sahaja membuat persiapan ke Sukan SEA, kejohanan antarabangsa yang bakal dihadapi mereka akan menjadi salah satu langkah bagi menghadapi temasya pada Ogos nanti," jelas Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar S. Maniam.

Advertisement

Must Watch Video