SUKAN LAIN
Sukan SEA 2019: Robinson yakin kemudi Malaysia pertahan emas
Jurulatih skuad bola jaring negara, Tracey Robinson, sedia kembali menjadi tulang belakang pasukan itu, sekali gus mengulangi sejarah meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Sebelum ini, Robinson menamatkan khidmatnya bersama skuad negara di kedudukan ranking ke-19 dunia selepas berakhirnya Sukan SEA dua tahun lalu dan digantikan oleh Choo Kon Lee yang menggalas tanggungjawab itu.
Walaupun baru kembali memulakan latihan bersama anak buahnya Januari lalu, Robinson menegaskan skuad negara kini di landasan tepat dalam misi merangkul emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan.
Iklan
"Kami adalah juara bertahan dan penting untuk mempertahankan catatan itu. Kami dibarisi pemain yang bagus dan saya rasa ia boleh dipertingkatkan. Sasaran kami adalah emas dan kami akan cuba yang terbaik," katanya.
Sebagai persediaan untuk Sukan SEA Filipina, skuad negara bakal melalui perlawanan persahabatan di Hong Kong akhir bulan ini dan di Sri Lanka dua bulan lagi.
Robinson juga tidak mahu terburu-buru memperbaiki kedudukan ranking skuad bola jaring negara kerana Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) masih belum mempunyai perancangan menyertai kejohanan antarabangsa.
Must-Watch Video