SUKAN LAIN
Sukan SEA 2017: MOM masih berahsia atlet harapan pingat emas
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, kekal dengan pendirian tidak mahu mendedahkan sasaran pingat kontinjen negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana ia akan hanya menambah tekanan terhadap atlet dan pegawai kebangsaan.
Masih belum ada bayangan mengenai sasaran pingat untuk Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017.
Tamat mesyuarat kali kedua pengurus pasukan di Wisma MOM hari ini, Tunku Imran menegaskan sasaran pingat, jika diumumkan dalam masa terdekat, boleh menambah tekanan kepada kontinjen negara.
Iklan
"Sesetengah atlet lebih gemar tidak diberi tumpuan dan diberi penekanan bahawa mereka adalah atlet harapan untuk memenangi pingat emas buat negara.
"Kami tidak mahu mendedahkan potensi atlet pingat emas kita kepada pesaing.
"Pasti ada pihak yang akan memantau.
"Lagipun, kami belum mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa lagi. Justeru, kami belum tahu atlet yang akan menyertainya (Sukan SEA) nanti," ujarnya.
Pada kebiasaannya, Malaysia akan mengumumkan sasaran menjelang setiap temasya sukan besar seperti Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik.
Sasaran penting untuk menentukan hala tuju Malaysia dalam setiap temasya, sekaligus mengukur kejayaan program kebangsaan yang menuntut pelaburan jutaan ringgit.
"Tolong saya sebagai chef-de-mission, MOM, Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mewujudkan suasana yang tepat bagi membolehkan atlet kita menyerlah.
"Bukan sahaja atlet pilihan, bahkan semua atlet yang menyertai temasya nanti, kerana mereka yang berada dalam kem Malaysia kesemuanya memiliki peluang untuk menang," kata chef-de-mission negara, Datuk Marina Chin.
Gambaran lebih jelas mengenai sasaran pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan diputuskan selepas mensyuarat pemilihan atlet, Mac depan.
Must-Watch Video