Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: 109 emas belum memadai -- Beng Choo

18117bengchoo.jpg
Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, menganggap sasaran 109 pingat emas belum memadai untuk muncul juara keseluruhan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur kerana kontinjen negara perlu sekurang-kurangnya mengatasi pencapaian temasya 2001.

Katanya, sasaran 109 emas yang menjadi khabar angin sebelum ini adalah angka yang cukup besar, namun belum menjamin status juara keseluruhan Sukan SEA, 19-31 Ogos ini.

Itu pendirian Beng Choo memandangkan pencabar utama, Thailand, dilihat sukar digugat apabila muncul juara keseluruhan sejak 2013.

"Kita mesti dapat lebih daripada 100 pingat emas. Kalau mahu melakar kutipan pingat lebih baik daripada tahun 2001, kita perlu mengutip sekurang-kurangnya 112 emas," ujarnya.

Justeru, Malaysia perlu mendominasi sebanyak mungkin pingat emas yang ditawarkan untuk mengulangi pencapaian muncul juara keseluruhan seperti edisi 2001 di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Malaysia selaku negara penganjur meraih 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa.

Secara keseluruhan, sebanyak 405 emas ditawarkan dalam Sukan SEA kali ini dengan membabitkan 38 jenis sukan.

Dua sukan diletakkan sandaran utama, iaitu berbasikal dan terjun, untuk menyapu 22 emas.

Sementara itu, Malaysia akan menganjurkan seminar chef-de-mission Sukan SEA Kuala Lumpur, 18-19 Februari depan di ibu negara.

"Kami berharap akan membuat perancangan yang lebih terperinci, terutamanya daripada aspek pengangkutan dan penginapan bagi setiap kontinjen," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video