SUKAN LAIN
Sukan Perpaduan Islam: Hatrik podium bakar semangat Eizlan Dahalan
Atlet lompat tinggi negara, Mohammad Eizlan Dahalan, membuktikan musim 2022 sebagai pentas perkenalan dirinya dalam saingan kompetitif dengan nota positif apabila melengkapkan kejayaan hatrik podium dalam tiga kejohanan antarabangsa pertamanya.
Dia membuktikan keupayaannya sebagai permata baru olahraga negara apabila menghasilkan kilauan pingat gangsa dalam Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turkiye, awal pagi tadi.
Penuntut tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menikmati fasa terbaiknya pasca kejayaan gangsa Sukan SEA Hanoi sementara emas dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan ia sebenarnya hasil daripada berguru dengan bekas jaguh negara, Lee Hup Wei.
Iklan
"Ini kali pertama saya menyertai kejohanan jadi ini boleh dianggap sebagai pencapaian yang baik.
"Saya tidak jangka dapat memungut medal dengan hanya fokus memberikan buat yang terbaik memandangkan pencabar yang lain mempunyai catatan peribadi yang lebih baik," katanya menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
Biarpun namanya masih mentah dalam saingan olahraga -- mula menjadi bualan ramai apabila menafikan slot Hup Wei ke Sukan SEA Mei lalu, sejak itu atlet berusia 22 tahun tersebut mula mempamerkan kewibawaannya menerusi lompatan luar biasa.
Meskipun menjadi atlet terendah Sukan SEA serta Sukan Perpaduan Islam, Eizlan melawan hukum fizik dengan melibatkan aspek teknik lompatan untuk mencatat ketinggian 2.14 meter.
Malah, anak jati Sabah itu mula memasang hajat untuk meleburkan rekod kebangsaan milik Nauraj Singh, 2.30m, dengan meletakkan sasaran itu untuk dicapai dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
"Ini satu pengalaman untuk bersaing dengan mereka.
"Setiap atlet memang bercita-cita untuk mewakili Malaysia. Ini sesuatu yang baik untuk saya, bukan mudah untuk menyertai Sukan SEA dan peluang itu mendorong saya untuk lakukan yang lebih baik.
"Walaupun catatan saya masih jauh, Insya-Allah saya mahu memecahkan rekod kebangsaan," katanya.
Must-Watch Video