Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Para Asia: Ziyad tekad akhiri kempen 2018 dengan gemilang

ziyad.jpg
Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, mengakui prestasinya mendatar tahun ini.

Sehubungan itu, dia mengharapkan Sukan Para Asia 2018 bulan depan menjadi pentas akhir untuk dia melepasi sasaran 17 meter selepas tertangguh sejak Mac lalu.

Selepas memperbaharui rekod dunianya dalam Kejohanan IPC di Dubai, Mac lalu, dengan catatan 16.40m, Ziyad gagal melewati peningkatan prestasi ketara ekoran kecederaan dan terpaksa mengambil cuti panjang.

Situasi itu merencatkan hasratnya untuk mencapai sasaran 17m dan perkara itu tidak berlaku sehingga ke saat ini.

Bakal bertolak ke Sukan Para Asia pada 2 Oktober nanti, ia umpama peluang akhir buat Ziyad memenuhi sasarannya tahun ini selain mahu mengekalkan emas yang disandangnya dalam edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan. 

"Tahun ini agak suram sikit. 

"Bagi saya, semasa dalam latihan, semuanya berjalan lancar tetapi balingan saya tidak menjadi dalam kejohanan sebenar. 

"Saya perlu mengkaji pendekatan saya dalam sesi latihan, ada yang tidak kena. 

"Saya ingin buat yang terbaik dalam kejohanan terakhir tahun ini. 

"Saya mahu melakar pencapaian yang lebih baik berbanding tahun lalu," kata Ziyad. 

Cabaran dalam Sukan Para Asia bukan sukar buat atlet kelahiran Gombak itu. Sehingga ke saat ini, nama Ziyad masih kekal selaku pemegang rekod nombor satu dunia di peringkat sukan para.

Hal ini diakui jurulatih, Faizol Harun, yang optimis saingan buat Ziyad di pentas Asia bukan cabaran besar untuknya.

"Sejak ditimpa kecederaan belakang dan bahu, ia memperlahankan rentaknya sehingga kini," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video